Medicare sasar 400,000 penjawat awam sertai CUEPACSCare
Firdaus Azil
Disember 10, 2018 16:45 MYT
Disember 10, 2018 16:45 MYT
Pengendali produk takaful CUEPACSCare, Medicare Assistance Sdn. Bhd. mengunjurkan peningkatan sebanyak 400,000 pemegang polisi dalam kalangan penjawat awam di negara ini pada tahun hadapan berbanding 80,000 pemegang polisi ketika ini.
Pengarah Urusan Medicare, K. Palanisamy berkata, sasaran berkenaan yakin dicapai bersandarkan pelaksanaan pelan strategik yang dirancang menerusi kerjasama erat dengan agensi kerajaan termasuk pelantikan 1,000 wakil pemasaran pada tahun hadapan.
Menurut beliau, CUEPACSCare merupakan program kerjasama dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bagi memastikan setiap penjawat awam memperoleh perlindungan takaful pada waktu kecemasan untuk diri dan keluarga.
“Ketika ini, kami memiliki kira-kira 200 wakil pemasaran di seluruh negara. Jumlah tersebut dilihat tidak dapat menampung kapasiti permintaan yang tinggi terhadap produk ditawarkan syarikat.
“Kami juga menyediakan latihan yang bersesuaian kepada mereka dalam membantu memahami secara keseluruhan berkaitan produk sekali gus menarik pelanggan baharu untuk mencarum,” katanya.
Menurut Palanisamy, produk dengan kerjasama Cuepacs itu diperkenalkan pada tahun 1999 yang ditawarkan khusus kepada golongan sasar sebagai alternatif mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta pada kadar berpatutan.
“Sebagai kakitangan kerajaan mereka layak menerima rawatan komprehensif di hospital kerajaan tetapi ada kalanya terpaksa menunggu giliran agak lama. Untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta, kos rawatan agak tinggi.
“Justeru itu, menerusi CUEPACSCare mereka ditawarkan takaful penghospitalan dan pembedahan serendah RM32 melalui CUEPACSCare, manakala RM6 bagi takaful kemalangan diri CUEPACS PA yang memberi pampasan sehingga RM220,000,” ujarnya lagi.
CUEPACSCare dan CUEPACS PA telah memberi perlindungan kepada lebih 500,000 penjawat awam dan ahli keluarga dengan jumlah tuntutan melebihi RM300 juta sejak awal pengenalannya.
Selain itu, dalam usaha untuk kekal relevan terhadap pasaran perlindungan takaful, Medicare turut merancang memperkenalkan produk inovasi dengan memfokuskan kepada golongan penjawatan profesional awam atau peringkat pengurusan bagi memberi nilai perlindungan yang lebih besar.
#CUEPACS PA
#CuepacsCare
#Medicare Assistance Sdn Bhd
#Palanisamy
#perlindungan takaful
#wakil pemasaran