MED4IRN pemacu utama transformasi ekonomi digital negara - Rafizi
Fahmi Izuddin
Ogos 25, 2023 10:56 MYT
Ogos 25, 2023 10:56 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi pada Jumaat melancarkan Majlis Ekonomi Digital Negara dan Revolusi Industri Ke-4 (MED4IRN) dalam usaha merangka dasar pelaksanaan tranformasi digital yang lebih holisitik demi kemajuan ekonomi negara.
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, inisiatif itu bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebagai pemain utama dalam ekonomi digital di peringkat global.
Melalui rangka kerja MED4IRN, kerajaan, kata Rafizi, mengambil pendekatan bersepadu dalam membangunkan ekosistem ekonomi digital yang cergas.
Selain itu, menurut Rafizi, pembentukan dasar dan pendanaan turut melibatkan kedua-dua sektor awam dan swasta dengan membabitkan individu dari berbagai bidang dan pakar-pakar terkemuka.
"Ini dilakukan melalui pembentukan dasar, pelaksanaan inisiatif, dan pendanaan yang
melibatkan kedua-dua sektor awam dan swasta,
"Proses pemilihan ahli MED4IRN telah melalui panggilan terbuka yang ketat. Profesion dari berbagai bidang dan pakar-pakar terkemuka telah diberi peluang untuk menyumbangkan kepakaran mereka dalam majlis ini.
"Ahli-ahli yang terpilih merupakan hasil penapisan teliti daripada ribuan pencalonan, dengan kehadiran penggiat industri yang memiliki pengalaman dalam pelbagai peringkat ekonomi," tambah Rafizi dalam kenyataan yang diedarkan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, MED4IRN bakal menjadi penanda aras dalam menetapkan arah strategik bagi transformasi digital Malaysia.
"Dengan kepakaran dan kepimpinan MED4IRN, negara dijangka dapat mencapai status sebagai pusat ekonomi berteraskan teknologi," jelasnya lagi.