MEASAT-3d: Tarik lebih ramai anak muda ceburi bidang aeroangkasa
Madiha Abdullah
Jun 22, 2022 15:52 MYT
Jun 22, 2022 15:52 MYT
KUALA LUMPUR: Manfaat satelit MEASAT-3d yang akan dilancar awal pagi Khamis tidak hanya tertumpu kepada kadar ketersambungan capaian internet atau siaran televisyen semata-mata.
Sebaliknya, pemenang Teacher Chaperone Advanced Space Academy oleh NASA, Yasmin Noorul Amin, berkata, impak berganda seperti pendedahan terhadap ilmu aeroangkasa adalah sesuatu yang perlu dilihat secara serius dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.
"Saya lihat pelajar sekarang memang terdedah dengan bidang aeroangkasa... ada keinginan untuk mendalaminya dan mereka ada asas pengetahuannya. Mungkin sudah tiba masanya pihak berkaitan datang ke sekolah, mungkin boleh juga jadikan sebuah sekolah sebagai pioneer untuk lancarkan program aeroangkasa dari tingkatan 1.
"Kita boleh gunakan sepenuhnya kepakaran yang kita ada. Pelancaran satelit baharu ini membuktikan kita memang sudah ada kepakaran.
"Yang penting sekarang kita perlu bawa lebih ramai pelajar untuk masuk ke dalam bidang ini. Saya percaya bidang ini akan lebih berkembang selepas ini dan mungkin akan mewujudkan peluang pekerjaan yang tidak ada sekarang," katanya ketika diwawancara dalam Buletin AWANI, pada Rabu.
Tambah beliau, pelancaran satelit itu juga tepat pada masanya ketika dunia semakin bergerak ke arah keperluan penggunaan internet yang pantas.
"Kepantasan internet itu yang kita tunggu, yang akan pastikan capaian internet di luar bandar lebih laju dan di bandar pula dipertingkatkan.
"Ini selaras dengan perkembangan semasa di mana kita banyak menggunakan internet untuk kelas online dan bekerja dari rumah.
"Zaman saya dahulu, internet ini satu luxury. Sekarang ia sudah jadi neccessity. Semua perkara di hujung jari dan satelit ini akan menyelaraskan proses pencarian ilmu dengan kemajuan teknologi," katanya lagi.
Satelit MEASAT-3d akan dilancarkan pada pukul 5 pagi waktu Malaysia esok (23 Jun).