MDV sasar perluas produk ke peringkat global

Madiha Abdullah
Mei 31, 2022 08:00 MYT
Khairul Azwan memaklumkan MDV akan menganjurkan Kuala Lumpur Venture Finance Forum 2022 pada awal Ogos. - Foto Facebook/Khairul Azwan Harun
KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Venture Bhd (MDV) sedang merancang untuk memperluaskan produk Venture Finance dan bekerjasama dengan agensi di peringkat serantau dan global.
Pengerusinya, Khairul Azwan Harun berkata sudah tiba masanya MDV meneroka peluang di Asia Tenggara, Asia Barat dan Eropah selepas 20 tahun penubuhannya.
"Baru-baru ini, kami telah melakukan lawatan kerja ke Bosnia dan Turki, di mana kami telah berjumpa dan bermesyuarat dengan beberapa syarikat Venture Capital dan bank.
"Saya kira inisiatif kami membuahkan hasil yang memuaskan kerana mereka bersedia menerima produk dan kami berhasrat untuk memanfaatkan rangkaian yang telah ditubuhkan pada masa hadapan.
"Kami akan meneruskan inisiatif yang sama dalam usaha untuk memperkenalkan produk kewangan teroka MDV di peringkat global," katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan MDV akan menganjurkan Kuala Lumpur Venture Finance Forum 2022 pada awal Ogos, bersempena dengan sambutan ulang tahunnya yang ke-20.
Forum itu akan membincangkan pelbagai isu membincangkan isu berkaitan kewangan teroka di Malaysia, selain mempromosikan konsep hutang teroka di Malaysia.
MDV, sebuah unit di bawah Kementerian Kewangan, telah ditubuhkan pada 2002 untuk menyediakan kemudahan pembiayaan yang fleksibel dan inovatif bagi membangunkan sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang telah dikenal pasti sebagai pemangkin kepada pertumbuhan negara.
#Malaysia Debt Venture #MDV #kewangan teroka #Khairul Azwan Harun
;