MDEC yakin pertumbuhan ekonomi digital turut mengukuh, selari prestasi KDNK

Kenyataan Media
Mei 12, 2021 19:32 MYT
MDEC menyambut baik pembentangan laporan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku pertama tahun ini.
CYBERJAYA: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menyambut baik pembentangan laporan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku pertama tahun ini oleh Kementerian Kewangan yang menyaksikan pencapaian lebih baik berbanding suku-suku sebelumnya dengan beberapa petunjuk ekonomi mempamerkan peningkatan.
MDEC selaku agensi utama yang melaksanakan transformasi digital negara pada masa sama menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda baik dan menyatakan kesediaan untuk terus bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi terutamanya dalam sektor ekonomi digital yang sangat berpotensi untuk membantu lonjakan ekonomi negara pada waktu norma baharu ini.
Pada masa sama, MDEC akan memainkan peranan aktif bagi memperkukuhkan daya saing negara dengan meningkatkan digitalisasi dan kemahiran tenaga kerja selaras dengan lima fokus utama kerajaan bagi mendorong dan menjamin pemulihan negara. Ini telah dan sedang dilaksanakan agensi ini menerusi kepelbagaian inisiatif untuk memacu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mikro serta meningkatkan kemahiran digital rakyat melibatkan program -program perkongsian awam swasta yang dipacu oleh MDEC termasuk Institusi Teknologi Digital Premier (PDTI), Kerangka Kemahiran Industri (IndSF), Direktori Latihan Kemahiran Digital untuk profesional yang bekerja dan program kerjasama teknologi data dengan syarikat gergasi teknologi. Program-program ini diperkenalkan untuk mempercepat usaha yang didorong oleh data dan mengembangkan bakat digital yang merupakan sebahagian daripada usaha MDEC untuk mendorong Malaysia melakukan lonjakan digital pada era Revolusi Perindustiran 4.0 (IR4.0).
Baru - baru ini, Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan Pelan Halatuju Strategik e-Dagang 2.0 (NESR 2.0) susulan pencapaian NESR 1.0. dengan MDEC diberi tanggungjawab untuk menerajui Pejabat Pengurusan Projek NESR 2.0 dengan mandat untuk mengawal selia keberhasilan pelaksanaan NESR 2.0.
Sebanyak 639 organisasi dan individu telah terlibat sebagai sebahagian daripada kajian pasaran utama
MDEC dalam penubuhan NESR 2.0 yang dijalankan pada tahun lepas ketika pandemik sedang memuncak. Ini termasuk 196 syarikat, 18 pertubuhan industri serta 40 Kementerian dan agensi kerajaan.
NESR 2.0 akan dipandu oleh tiga objektif utama, iaitu untuk memperhebat penggunaan dan pertumbuhan e-Dagang untuk meningkatkan pembangunan ekosistem dan memperkukuhkan persekitaran polisi dan peraturan
Pada masa sama, MDEC turut teruja apabila Malaysia kekal sebagai salah satu destinasi utama pelaburan di rantau ini apabila menerima pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM81.9 bilion yang merupakan pelaburan berkualiti tinggi melibatkan sektor teknologi, inovasi, teknologi hijau dan teknologi kewangan. Perkembangan ini diyakini akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang memanfaatkan tenaga kerja berkemahiran tempatan dan seterusnya mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama (WBK) 2030 yang digariskan kerajaan.
Sebelum ini, MDEC telah mengorak langkah apabila bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mempermudah usaha pelaburan berkaitan sektor digital menerusi penubuhan Pejabat Pelaburan Digital (DIO) untuk menyelaras dan mengawalselia kesemua pelaburan digital seterusnya meningkatkan kesedaran mengenai pelaburan digital dalam negara serta mengukuhkan penyelarasan kesemua Agensi Promosi Pelaburan (IPAs) dalam mempromosi dan menarik pelaburan baharu dalam segmen yang sedang berkembang.
Laporan suku pertama KDNK yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam menyaksikan indeks jualan runcit dalam talian yang menggambarkan aktiviti e-dagang, mencatat pertumbuhan 18.3 pertaus dari tahun-ke-tahun.
Sehingga hujung tahun lalu, lebih daripada 489,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mikro telah menerapkan e-Dagang manakala 378,000 PKS telah dilatih dalam e- Dagang. Jumlah PKS yang mengeksport barangan telah meningkat secara drastik kepada 27,000 berbanding 1,800 selain berjaya menarik pelaburan sebanyak RM1.5 bilion untuk penubuhan hab e-penyampaian serantau.
"Ini akan memberi keyakinan dan seterusnya memacu pertumbuhan serta mengembangkan ekonomi digital serta bertepatan dengan usaha kita mewujudkan masyarakat yang inovatif, inklusif dan terintegrasi teknologi sejajar dengan Malaysia 5.0,” kata Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff, Pengerusi MDEC. Pada masa sama, MDEC akan meneruskan sokongan kepada ekonomi digital dengan tumpuan ke arah penerimagunaan teknologi digital di kalangan PKS dan usahawan mikro. Ini telah dibuktikan menerusi pengingkatan prestasi yang ditunjukkan oleh sektor berkenaan sehingga Malaysia kekal sebagai salah satu pasaran e-Dagang utama di ASEAN berdasarkan jangkaan pertumbuhan nilai dagangan kasar (GMV) yang mampu mencecah USD 11.4 bilion pada tahun lalu iaitu peningkatan enam peratus dari tahun ke tahun.
“MDEC mengalu-alukan laporan suku pertama KDNK negara yang telah memberi petunjuk dan hasil oleh kerajaan dalam memacu pemulihan ekonomi negara. Sehubungan itu, MDEC akan terus memberi sokongan diperlukan kepada syarikat -syarikat tempatan serta anak Unicorn tempatan yang berpotensi untuk muncul sebagai syarikat unicorn dan seterusnya mengembangkan sayap ke pasaran global.
MDEC mahu terlibat dalam penciptaan lebih banyak syarikat tempatan bertaraf global yang selaras
dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Negara (MyDIGITAL) dan mencapai cita -cita menjadi Nadi
Digital ASEAN,” kata Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.
MDEC akan terus memimpin transformasi ekonomi digital negara ke arah aspirasi Malaysia 5.0 yang memungkinkan masyarakat terintegrasi dengan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) termasuk internet kebendaan (IoT), analisis data, kecerdasan buatan dan teknologi blockchain. MDEC telah memulakan inisiatif untuk memperkasakan lebih banyak rakyat Malaysia yang mahir secara digital, membolehkan perniagaan yang dipacu secara digital dan menarik lebih banyak pelaburan digital. Menerusi teras ini, MDEC dapat menciptakan peluang baharu untuk rakyat dan perniagaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital yang lestari dan adil.
#MDEC #Malaysia Digital Economy Corporation #KDNK #ekonomi #Kementerian Kewangan
;