MDEC sedia bantuan khusus bantu PMKS - Aiza Azreen

Astro Awani
Ogos 30, 2021 14:51 MYT
Aiza Azreen berkata, program itu mampu membantu golongan PMKS termasuklah golongan muda dan wanita. - Foto MDEC
KUALA LUMPUR: Inisiatif Program Accelerator Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) membolehkan peserta dari sektor utama perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dibantu untuk bergerak ke arah pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan perniagaan dengan menggunakan pendekatan latihan maya yang khusus.
Ketua Pegawai Perniagaan Digital MDEC, Aiza Azreen Ahmad berkata, program itu termasuk di dalam tiga bantuan khusus pada tahun ini untuk membantu golongan PMKS termasuklah golongan muda dan wanita.
"Kita tahu susah hendak pergi ke satu tempat dan memberi program-program sama ada bersemuka kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih lagi dilaksanakan di seluruh Malaysia sama ada Fasa Satu dan Dua.
"Walaupun kita sudah buka sedikit untuk peserta datang belajar dan menerima program, rata-rata mereka cenderung ke arah latihan secara maya.
"Itu sebenarnya pendekatan yang baik dan kemajuan dimana usahawan ini tidak takut lagi untuk mengikuti latihan maya, sebelum ini sentiasa bersemuka dan bersama-sama. Buat masa ini banyak sudah ke arah latihan maya," katanya semasa sidang video pada Isnin.
BACA: Industri kreatif tempatan raih RM42 juta dalam jualan, peluang komersial - MDEC
BACA: Sasar pelaburan RM50 bilion, pacu Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN - MDEC
Selain itu katanya, program 100GoDigital Coaching bertujuan untuk memberi kesedaran melalui latihan secara maya kepada peserta dari sektor utama perniagaan PMKS tentang kebaikan dan keperluan penggunaan digital di dalam perniagaan.
Program itu menyediakan jurulatih khusus dalam pendigitalan untuk memastikannya bukan dalam tempoh singkat namun kelestarian masa hadapan dalam daya saing dalam perniagaan.
Aiza Azreen juga menjelaskan, fokus juga diberi dalam bentuk bantuan kewangan melalui program Smart Automation Grant (SAG).
Bantuan itu merupakan bantuan dalam bentuk geran padanan sebanyak lima puluh peratus daripada jumlah keseluruhan kos projek atau sehingga had maksima RM200,000 (yang mana lebih rendah).
Ujarnya, geran berkenaan akan diberikan kepada syarikat-syarikat perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengautomasikan proses dan operasi perniagaan mereka dengan penggunaan teknologi digital.
Dalam pada itu Aiza Azreen berkata, evolusi pendigitalan PMKS lebih cenderung kepada portal maya yang merangkumi tujuh solusi.
Jelasnya, solusi berkenaan memberi pengetahuan PMKS mengenai program-program dan penyelesaian digital yang sesuai untuk perniagaan mereka.
"Kita nampak tujuh solusi iaitu pemasaran dan jualan digital; sistem jualan elektronik; sistem sumber manusia dan pengurusan hubungan pelanggan; perolehan; eCommerce; remote working dan perancangan sumber perusahaan dan perakaunan," ujarnya lagi.
Katanya, solusi berkenaan bagi meningkatkan kepekaan PMKS terhadap program-program digitalisasi dan pembiayaan yang sedia ada di MDEC dan juga melalui usaha sama dengan agensi-agensi dan rakan strategik yang lain.
Selain itu Aiza Azreen menjelaskan, PMKS juga akan mendapat manfaat dari portal unified dan inisiatif sedia ada iaitu 100GoDigital dan Program Accelerator Pendigitalan PMKS.
Ujarnya, kumpulan fokus akan mengadaptasi sekurang-kurangnya satu solusi pendigital untuk meningkatkan daya saing dalam perniagaan dan PMKS kekal mampan.
"Geran Automasi Pintar (SAG) mensasarkan manfaat sehingga RM20 juta dalam pendigitalan dan automasi dalam kalangan PKS supaya mereka boleh melestarikan kesinambungan perniagaan mereka dengan penggunaan digital.
"Perkhidmatan eDagang Setempat (PeDAS), menggunakan pusat internet yang sedia ada sebagai pusat sehenti dalam melatih dan membimbing bantu PKS mikro luar bandar untuk menyertai perniagaan di platform eDagang.
Katanya, program eUsahawan sekali gus menerapkan nilai dan ilmu keusahawanan digital kepada usahawan mikro, desa dan belia untuk menjana pendapatan secara digital dan pemasaran produk.
#usahawan #MDEC #Aiza Azreen Ahmad #perniagaan digital
;