MDEC sasar wujudkan dana khas sokong syarikat ESG di negara ini

Raja Hisyam Raja Zaid
Julai 19, 2022 15:17 MYT
Mahadzir (tengah) menyaksikan MoU yang ditandatangani antara MDEC dan UNGC di Cyberjaya hari ini. - Foto Astro AWANI
CYBERJAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) terus komited untuk meningkatkan kesedaran, membina kapasiti dan meningkatkan adaptasi kemampanan selain tindakan iklim merentasi perniagaan ekonomi digital.
Hala tuju itu kian kukuh dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) dengan Rangkaian Kompak Ekonomi Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia dan Brunei (UNGCMYB) di sini hari ini.
Jelas Ketua Pegawai Eksekutifnya Mahadzir Aziz, pihaknya mensasarkan sejumlah 75 hingga 100 syarikat di negara ini akan memanfaatkan peluang yang ditawarkan menerusi kerjasama yang terjalin menjelang hujung tahun ini.
“Manfaat itu ada bermacam-macam. Dia bukan bentuk dana khusus tetapi akses kepada kemudahan dan antara 75 ke 100 syarikat berstatus MD (Malaysia Digital) yang akan dapat (manfaat) ini,” jelasnya pada sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengarah Eksekutif UNGC, Ramesh Kana.
Menurutnya lagi ketika ini juga pihak MDEC turut mensasarkan untuk mewujudkan dana khusus bagi menyokong syarikat digital tempatan berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Ia katanya mampu direalisasikan dengan mendapatkan sokongan peruntukan daripada Kementerian Kewangan (MoF) untuk disalurkan kepada syarikat-syarikat yang layak dalam program yang disediakan MDEC berasaskan ESG.
Bagaimanapun jelas beliau, sasaran itu masih lagi dalam perancangan yang diharapkan akan diberikan keutamaan dalam Bajet 2023 nanti.
“Jadi dari segi itu kita kalau boleh kita akan bekerja dan kami sedang bekerja dengan pihak MoF untuk mendapatkan pengkhususan sesetengah dana bagi tujuan dan arah ESG. Insyallah, mungkin hujung tahun ini kita akan dapat sesuatu.
“Usaha itu telah dilakukan dan kita akan gabungkan dengan apa yang telahpun kita ada sekarang,” jelasnya lagi.
Katanya, pendekatan awam-swasta ke arah menerajui tindakan kemampanan adalah penting dan dijadikan sebagai keutamaan dalam pembangunan negara seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
#bajet #Kementerian Kewangan #Brunei #MDEC
;