MDEC sasar pelaburan digital RM49 bilion menjelang 2025
Bernama
Januari 16, 2023 19:52 MYT
Januari 16, 2023 19:52 MYT
CYBERJAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan pelaburan digital bernilai RM49 bilion menjelang 2025 sekali gus mewujudkan 49,000 peluang pekerjaan.
Pada masa itu, pelaburan digital dijangka menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sumbangan pada akhir 2022 adalah sebanyak 23.2 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mahadhir Aziz berkata agensi itu mengunjurkan pendapatan RM29 bilion daripada sektor digital dan RM16 bilion nilai eksport dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Dengan latar belakang pertumbuhan sederhana, beliau yakin lebih banyak pelaburan akan memasuki negara walaupun terdapat kemungkinan kemelesetan global.
"Kami optimistik secara berhati-hati mengenai jumlah pelaburan digital yang masuk berdasarkan hasil kerja yang telah kami buat sebelum ini. Menyedari pelaburan tersebut boleh berlarutan sehingga 2024.
"Pembukaan semula sempadan antarabangsa China juga akan merancakkan aktiviti ekonomi yang masuk ke negara ini," katanya kepada media semasa perbincangan meja bulat CEO MDEC.
Sementara itu, MDEC dijangka melancarkan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi ekosistem ekonomi digital menjelang suku kedua tahun ini.
Mahadhir berkata rangka kerja itu akan berdasarkan kepada standard United Nation Global Compact (UNGC).
MDEC berharap dapat meningkatkan aktiviti yang melibatkan inisiatif ESG dalam kalangan pemain industri digital dan ia kini sedang melihat pematuhannya sendiri terhadap inisiatif ESG. Bagi komposisi program ESG untuk industri, ia akan bermula pada suku kedua.
"Kita akan adakan program ini termasuk rangka kerja dan kit alat untuk diikuti oleh seluruh ekosistem ekonomi digital," katanya.
Mahadhir berkata MDEC telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan UN Global Compact Network Malaysia serta Brunei (UNGCMYB) pada tahun lepas untuk memudahkan penggunaan elemen ESG dalam agensi itu dan ekosistem ekonomi digital.
MDEC juga telah meminta peruntukan yang lebih besar daripada Kementerian Kewangan untuk melaksanakan agenda ESG, katanya.
-- BERNAMA