MDEC jangka tarik FDI bilion ringgit dari Minggu Teknologi London
Bernama
Jun 11, 2023 06:00 MYT
Jun 11, 2023 06:00 MYT
LONDON: Malaysia dijangka membawa pulang pelaburan langsung asing (FDI) mencecah billion ringgit menerusi inisiatif Malaysia Digital (MD) hasil penglibatan konsisten Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di Minggu Teknologi London (LTW).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MDEC, Mahadhir Aziz berkata, pengumuman mengenainya akan dibuat minggu depan melibatkan kerjasama agensi kerajaan, rakan kongsi strategik dan syarikat digital Eropah dalam bidang tumpuan termasuk kewangan digital, teknologi data, kesihatan digital, pemasaran digital, penyelesaian awan, pusat data, keselamatan siber serta agensi pekerjaan digital.
LTW yang berlangsung mulai 12 hingga 16 Jun depan adalah acara terkemuka global yang mengumpulkan usahawan, pelabur serta peneraju industri pelbagai dari seluruh dunia untuk berbincang, bekerjasama dan meneroka arah aliran inovasi termasuk peluang terkini dalam sektor teknologi dan digital.
"Ini adalah kesinambungan daripada penglibatan Malaysia secara konsisten dengan syarikat- syarikat digital yang telah kami bina selama ini, dengan United Kingdom menjadi salah satu daripada penyumbang utama kepada ekonomi digital Malaysia," katanya kepada Bernama di sini, pada Ahad.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang mengetuai delegasi Malaysia ke LTW, dijadualkan menyaksikan pemeteraian lebih 10 memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat-syarikat Malaysia dan antarabangsa pada Selasa depan.
Mahadhir menjelaskan, kerjasama ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan teknologi digital strategik sejajar dengan sektor tumpuan MD seperti kesihatan digital, bandar pintar, pertanian, kandungan digital dan ekonomi digital Islam.
Ia juga sejajar dengan hasrat mencapai sasaran pelaburan digital ke Malaysia bernilai RM130 bilion menjelang 2025, yang mana bakal menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Sasaran tersebut telah dikaji semula daripada RM70 bilion setelah RM40 bilion pelaburan berjaya dicapai menjelang akhir 2022.
Sementara itu, LTW tahun ini dijangka menjadi acara yang terbesar, dengan lebih daripada 60 peratus peserta adalah daripada peringkat C dan pengarah.
Sejumlah 20,000 pelawat dijangka menghadiri acara lima hari itu.
Antara mesyuarat serta sesi meja bulat dengan bakal pelabur, persatuan dan pengawal selia, MDEC juga menjadualkan mesyuarat susulan dengan syarikat Eropah serta rakan strategik yang terlibat sejak tahun lepas untuk mengukuhkan cadangan nilai pelaburan digital Malaysia selain membina rangkaian dengan pelabur digital Eropah. - BERNAMA