Md Arif Mahmood letak jawatan sebagai Pengerusi KPJ Healthcare
Bernama
Mac 15, 2024 23:57 MYT
Mac 15, 2024 23:57 MYT
KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare Bhd hari ini mengumumkan Datuk Md Arif Mahmood akan meletak jawatan sebagai Pengarah dan Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif selepas menamatkan tempoh selama dua tahun pada 31 Mac 2024.
Penyedia penjagaan kesihatan swasta itu dalam satu kenyataan hari ini berkata Md Arif mengambil alih tugasnya sebagai pengerusi pada 1 April 2022, ketika negara sedang beralih ke fasa endemik COVID-19.
"Di bawah kepimpinan strategik beliau, KPJ Healthcare dapat memanfaatkan kekuatannya serta mengambil kesempatan ke atas peluang yang muncul bagi menyampaikan hasil tertingginya sebanyak RM2.9 bilion pada 2022 dan RM3.4 bilion menjelang 2023.
"Hari ini, nilai KPJ Healthcare turut meningkat dua kali ganda dalam tempoh dua tahun lalu," katanya.
Justeru, lembaga pengarah dan pengurusan KPJ Healthcare merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Md Arif atas kepimpinan, perkhidmatan dan sumbangan beliau yang tidak ternilai kepada syarikat itu.
Syarikat itu berkata pelantikan pengerusi baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.
-- BERNAMA