MBSB pupuk literasi kewangan belia, elak beban hutang berpanjangan
Amzar Alif
Oktober 28, 2024 19:37 MYT
Oktober 28, 2024 19:37 MYT
PETALING JAYA: Dalam usaha menangani peningkatan masalah hutang dalam kalangan belia, MBSB Bank Berhad (MBSB) menganjurkan Forum Literasi Kewangan, menghimpunkan pakar industri dan mahasiswa daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta MyPAC.
Menurut Pengarah MBSB, Datuk Dr Yasmin Mahmood, forum ini bertujuan memperkasakan golongan muda dengan ilmu kewangan agar mereka dapat membuat keputusan bijak dan mengelak jerat hutang.
“Sebagai sebahagian daripada fokus CSR kami di bawah pemerkasaan ekonomi, usaha ini menumpukan kepada perkara yang paling penting iaitu membantu generasi akan datang mengelak daripada hutang dan membuat keputusan kewangan yang bijak bagi menjamin masa depan yang baik dan selamat,” katanya.
Dengan tema ‘Money Smart, Future Ready!’, forum ini menampilkan beberapa panelis terkemuka termasuk Ketua MIDF Research, Imran Yassin yang menekankan bahawa institusi kewangan berperanan penting dalam membentuk tabiat kewangan yang sihat.
Sementara itu, Ketua Hubungan Pelabur Kumpulan MBSB, Azharuddin Nordin, juga mengingatkan belia tentang tekanan sosial yang sering menjadi punca utama hutang tidak terkawal.
Yasmin turut berkongsi perspektif beliau berdasarkan pengalaman korporat semasa forum berkenaan.
Jelasnya, literasi kewangan bukanlah pendekatan seragam kerana wanita dan belia menghadapi cabaran yang unik.
Beliau menekankan bahawa pemerkasaan kewangan adalah kunci kepada kebebasan dan masa depan yang stabil.
Pada majlis sama, Yasmin bagi pihak MBSB menyerahkan sumbangan biasiswa bernilai RM350,000 kepada MyPAC bagi menyokong pendidikan bakal akauntan profesional yang berdaya saing.
Selain itu, MBSB turut menyumbang RM130,000 bagi program Digibiz Mastery UiTM, termasuk pembiayaan TikTok Mastery Bootcamp dan pembangunan MBSB-Innobiz Hub.
Inisiatif ini bertujuan melengkapkan usahawan muda dengan kemahiran terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan penstriman langsung untuk berjaya dalam ekonomi digital.
MBSB turut memperluas usaha pendidikan kewangan ke peringkat sekolah rendah melalui MIDF Youngpreneurship Program dan program MBSB Bank BEST yang menyasarkan komuniti kurang berkemampuan.
Fokus utama program berkenaan adalah menggalakkan keusahawanan pada setiap peringkat kehidupan, dari awal usia hingga dewasa.
“MBSB komited untuk meneruskan usaha ini, memastikan belia Malaysia bukan sahaja celik kewangan, tetapi juga bersedia sepenuhnya menghadapi cabaran masa depan,” katanya.