MBSB akan pelbagai pelan perniagaan untuk lima tahun akan datang

Bernama
Februari 16, 2015 22:36 MYT
AHMAD ZAINI: Tahun ini kami akan meneroka program pengurusan kekayaan bagi menyokong segmen runcit utama. - Sumber Foto blog.propertyguru.com.my
Malaysia Building Society Bhd (MBSB) akan terus mempelbagaikan pelan perniagaannya untuk lima tahun akan datang mulai 2015 hingga 2019, mencari peluang dalam segmen korporat dan perladangan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Zaini Othman berkata, kedua-dua segmen itu agak selamat walaupun akan menghadapi pelbagai cabaran ekonomi dan industri.
Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun itu, MBSB merancang meningkatkan nisbah pembiayaan korporat kepada 30 peratus berbanding 15 peratus sekarang ini dan pembiayaan runcit kepada 70 peratus daripada 85 peratus sekarang, sebahagian daripada usaha mengukuhkan pelan perniagaannya.
"Tahun ini kami akan meneroka program pengurusan kekayaan bagi menyokong segmen runcit utama," katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan kewangan syarikat itu di sini, hari ini.
Tahun lepas, MBSB adalah sebahagian daripada rundingan penggabungan untuk mewujudkan bank Islam mega pertama negara, tetapi rancangan itu tidak menjadi kenyataan selepas semua pihak menghentikan perbincangan bulan lalu.
Ahmad Zaini berkata, antara sebabnya ialah keadaan ekonomi yang tidak mengggalakan yang membuatkan cadangan korporat itu tidak lagi berdaya maju.
Walaupun masa pengurusan dan usaha yang banyak dihabiskan ke atas perbincangan penggabungan, syarikat masih mampu berada di landasan untuk mencapai prestasi ini, katanya.
MBSB mencatat keuntungan sebelum cukai lebih tinggi sebanyak RM932.56 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 berbanding RM932.35 juta pada 2013.
Syarikat itu berkata, pendapatan meningkat kepada RM2.61 bilion semasa tempoh kajian berbanding RM2.54 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
#Ahmad Zaini Othman #korporat #MBSB #pelan perniagaan #perladangan
;