Mbrace bantu usahawan bangunkan perniagaan dengan China

Bernama
Disember 12, 2016 19:57 MYT
TIONG LAI: Mbrace membolehkan usahawan dari Malaysia dan China berebut peluang perniagaan. - Gambar fail
MCA hari ini melancarkan MCA Belt and Road Centre (Mbrace) untuk membolehkan usahawan dari Malaysia dan China berebut peluang melalui pertukaran maklumat, serta pemadanan perniagaan.
Presiden parti, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pusat itu akan menjadi platform untuk membantu sektor swasta, terutama industri kecil dan sederhana (IKS) menyertai dan mendapat manfaat daripada "Belt and Road Initiative" yang dicadangkan oleh kerajaan China.
"Pada masa ini, sebanyak 65 negara mengambil bahagian dalam inisiatif itu dan Malaysia ialah antara negara tersebut ... ini akan membantu menghubungkan Malaysia dengan bahagian lain di dunia dan membantu membangunkan perniagaan dan mengembangkan ekonomi.
"Selain pusat itu, kita juga akan mewujudkan laman web untuk memaklumkan bukan sahaja kepada usahawan tetapi juga orang ramai mengenai peluang-peluang perniagaan terbaharu di China," kata beliau kepda pemberita selepas pelancaran pusat itu di sini.
Inisiatif Belt and Road adalah hasil cetusan idea Presiden China, XiJinping dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama, termasuk perdagangan dan pelaburan, penyelarasan dasar, penjajaran strategik, kerjasama kewangan, kebudayaan rakyat serta pertukaran rakyat dengan rakyat.
Sementara itu, Liow yang juga Menteri Pengangkutan, memuji usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Tun Razak untuk menjalin hubungan lebih erat dengan China kerana beliau percaya ia akan melonjakkan lagi pembangunan Malaysia.
"Najib telah meletakkan asas bagi pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh di Malaysia selepas menandatangani perjanjian pelaburan bernilai RM144 bilion hasil lawatannya ke China.
"Perjanjian seperti ini dapat meningkatkan lagi perdagangan dan membuka aktiviti-aktiviti ekonomi yang baharu," katanya. - BERNAMA
#China #hubungan perniagaan #Liow Tiong Lai #Malaysia #MCA
;