MBEW 2024: Jadi penanda aras baharu, tarik pelabur dan idea teknologi

Astro Awani
Ogos 22, 2024 13:09 MYT
Minggu Acara Perniagaan Malaysia 2024 (MBEW 2024) berlangsung dari 19 hingga 22 Ogos, menyasarkan kehadiran 300 delegasi terkenal daripada pelbagai sektor acara perniagaan. - Foto MyCEB
KUALA LUMPUR: Minggu Acara Perniagaan Malaysia 2024 (MBEW 2024) yang berlangsung dari 19 hingga 22 Ogos ini menjadi penanda aras baharu dalam usaha menarik para pelabur luar ke dalam negara, sekali gus merancakkan ekonomi Malaysia.
Lembaga Pengarah Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), Datuk Vincent Lim berkata MBEW merupakan platform untuk pemain industri perniagaan berkumpul dan bertukar ilmu termasuk dalam bidang inovasi dan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI).
Jelas beliau, industri yang dijangka menerima manfaat daripada acara perniagaan tersebut termasuk peruncitan, hotel dan sebagainya, selain mewujudkan impak menyeluruh kepada banyak sektor perniagaan.
"Jika anda lihat industri acara perniagaan semasa, saya rasa trend besar sekarang adalah berbeza berbanding dahulu yang menekankan media sosial dan data raya (tetapi) kini kata kuncinya adalah AI.
"Saya percaya akan ada tahap lain dalam teknologi digital yang akan membawa industri kita ke tahap yang lebih tinggi bagi memastikan generasi muda lebih pakar dan berpengetahuan (dalam menyalurkan) idea kepada industri.
"Dengan teknologi ini, saya percaya ia akan mencipta acara yang lebih baik pada masa hadapan," katanya kepada Astro AWANI di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penganjur Konvensyen dan Pameran (MACEOS), Datuk Dr M Gandhi berkata teknologi AI boleh digunakan dengan lebih berkesan dalam penganjuran dan mengendalikan acara perniagaan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan cabaran utama yang dihadapi di Malaysia ketika ini ialah penyediaan infrastruktur untuk mengendalikan acara-acara perniagaan yang berskala besar.
"MBEW telah dianjurkan selama sembilan tahun di Malaysia. Untuk pertama kalinya, acara ini akan diadakan bersama dengan acara baharu yang dikenali sebagai EVENTEXPO.
"Acara ini bertujuan untuk mengumpulkan industri acara perniagaan bagi berkongsi trend terkini dan juga menarik perhatian global kepada Malaysia sebagai lokasi untuk acara perniagaan secara keseluruhannya. Kami berharap agar acara MBEW ini akan diteruskan dalam jangka masa panjang untuk manfaat negara," katanya.
MBEW 2024 menyasarkan kehadiran 300 delegasi terkenal daripada pelbagai sektor acara perniagaan, dengan mengangkat tema inspirasi “B.E.A.T.S - Business Events and Technology with Sustainability”.
Sementara itu, EVENTEXPO 2024 yang menjadi kemuncak kepada acara MBEW 2024 meletakkan sasaran untuk menjadi pasaran sehenti yang menampilkan produk, perkhidmatan, teknologi serta cerapan acara perniagaan terkini untuk menyokong pertumbuhan industri.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari https://www.myceb.com.my/mbew.
#Minggu Acara Perniagaan Malaysia 2024 #MBEW 2024 #MyCEB #industri perniagaan Malaysia