Maybank teraju syarikat Malaysia dalam senarai Fortune 500 Asia Tenggara

Bernama
Jun 18, 2024 16:15 MYT
Maybank mendahului 89 syarikat Malaysia dalam senarai Fortune 500 Asia Tenggara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd menduduki tempat ke-17 dengan pendapatan sebanyak US$14.15 bilion (RM66.65 bilion), sekaligus menerajui syarikat-syarikat Malaysia dalam senarai Fortune 500 Asia Tenggara untuk 2024.

Ringkasan AI
  • Malayan Banking Bhd (Maybank) menduduki tempat ke-17 dengan pendapatan sebanyak US$14.15 bilion (RM66.65 bilion), mendahului 89 syarikat Malaysia dalam senarai Fortune 500 Asia Tenggara 2024.
  • Senarai Fortune 500 Asia Tenggara yang pertama kali diterbitkan ini melihat firma komoditi Singapura, Trafigura, berada di tempat pertama dengan pendapatan US$244 bilion, sementara perbankan adalah sektor kedua terbesar dengan hasil kolektif US$242 bilion.
  • Tiga firma Malaysia termasuk dalam 20 syarikat teratas mengikut keuntungan: Maybank di tempat ke-11, CIMB Group Holdings Bhd di tempat ke-17, dan Public Bank Bhd di tempat ke-19. Mah Sing Group Bhd, yang juga tersenarai, mengumumkan sasaran jualan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion untuk 2024.

Majalah perniagaan global Amerika Syarikat (AS) itu menyatakan penarafan sulung tersebut menyaksikan Maybank mendahului 89 syarikat Malaysia dalam senarai berkenaan, manakala Singapura mempunyai penyenaraian 84 syarikat, Indonesia mendahului dengan 110, Thailand 107, Vietnam 70, Filipina 38 dan Kemboja hanya dua.
Dari segi pendapatan, firma komoditi yang berpangkalan di Singapura, Trafigura menduduki tempat pertama dalam senarai, mendominasi dengan jualan sebanyak $244 bilion. (US$1=RM4.71).
Sementara itu, antara 20 syarikat teratas mengikut keuntungan, tiga firma Malaysia berada dalam senarai iaitu Maybank di tempat ke-11, CIMB Group Holdings Bhd di tempat ke-17 dan Public Bank Bhd di tempat ke-19.
Menurut Fortune, sepuluh syarikat terbesar dalam senarai terkini itu melaporkan pendapatan sebanyak US$650 bilion, menyumbang lebih satu pertiga daripada jumlah hasil US$1.8 trilion untuk tahun fiskal 2023 merentas semua 500 syarikat di Asia Tenggara.
Pendapatan minimum ambang untuk dimasukkan dalam senarai ialah US$460.8 juta.
"Dengan hasil kolektif sebanyak US$242 bilion, perbankan merupakan sektor kedua terbesar di Asia Tenggara.
"Ketaranya, sembilan bank adalah antara 20 syarikat paling menguntungkan, dengan DBS Singapura mendahului dalam hasil dan pendapatan," kata majalah itu.
Editor Eksekutif Fortune Asia, Clay Chandler berkata senarai Fortune 500 Asia Tenggara mencerminkan rantau yang dinamik serta pesat berubah, dengan ekonomi teras berkembang pantas berbanding Eropah atau AS.
"Ini sebahagiannya disebabkan oleh rantau ini yang mengambil kepentingan yang jauh lebih besar dalam ekonomi global memandangkan sebilangan besar syarikat multinasional Global 500 telah mengalihkan banyak rantaian bekalan mereka ke Asia Tenggara," katanya.
Dalam satu kenyataan berasingan, Mah Sing Group Bhd, yang tersenarai dalam Fortune 500 Asia Tenggara mengumumkan sasaran jualan lebih tinggi sekurang-kurangnya RM2.5 bilion untuk 2024.
"Mengekalkan momentum ini, kumpulan itu meraih RM992 juta dalam jualan hartanah baharu dalam tempoh lima bulan pertama 2024, meletakkan kami di landasan yang baik bagi mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya.
-- BERNAMA
#Maybank #Fortune 500 Asia Tenggara #syarikat Malaysia #majalah perniagaan
;