Maybank Singapore sedia geran kepada pelajar Madrasah

Bernama
Februari 23, 2013 07:15 MYT
Maybank Singapore Islamic Banking memperuntukkan S$36,000 untuk memberikan subsidi keperluan pengangkutan kepada pelajar kurang berkemampuan dari enam madrasah tahun ini.
Sejak dimulakan pada Mac 2012, kerjasama "Maybank Get-to-School Transport Grant" antara Maybank Singapore dan Central Singapore Community Development Council itu telah membelanjakan kira-kira S$23,400 kepada 65 pelajar dari lima sekolah menengah.
Tahun ini, geran itu juga diperluaskan kepada 100 lagi pelajar dari enam madrasah, dengan setiap pelajar menerima subsidi pengangkutan sebanyak S$360.
Sekolah-sekolah tersebut ialah Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah, Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah dan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah.
Dalam ucapan beliau di majlis penyampaian geran itu di sini, pada Jumaat, Ketua Maybank Singapore Islamic Banking, Mohd Ismail Hussein berkata banknya mendapati bahawa program yang dimulakan oleh Maybank Singapore itu pada tahun lepas banyak memberi manfaat dan praktikal kepada pelajar yang memerlukannya dan itulah sebabnya mengapa Maybank Singapore Islamic Banking memutuskan untuk menyertai usaha tersebut.
"Menyalurkan geran pengangkutan dengan memasukkan pelajar madrasah merupakan komitmen kami bagi membantu keluarga Islam yang memerlukan bantuan kewangan," katanya.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Speaker Parlimen, Halimah Yacob.
#Central Singapore Community Development Council #madrasah #Maybank Get-to-School Transport Grant #Maybank Singapore Islamic Banking