Maybank rancang buka 144 lagi cawangan dalam Asean

Bernama
November 6, 2012 15:44 MYT
Maybank merancang untuk membuka 144 lagi cawangan dan meningkatkan bahagian pasaran di rantau Asean dalam masa tiga tahun akan datang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata bank meninjau untuk membuka empat lagi cawangan di Laos, Singapura (13), Kemboja (sembilan), Filipina (48) dan Indonesia (70).
Ini akan meningkatkan jumlah cawangan daripada satu kepada lima di Laos, daripada 22 kepada 35 di Singapura, daripada 11 kepada 20 di Kemboja, daripada 52 kepada 100 di Filipina dan daripada 380 kepada 450 di Indonesia, kata beliau kepada media Malaysia di sini hari ini pada majlis perasmian cawangan pertama
Maybank di Laos semalam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Maybank menguasai lima peratus bahagian pasaran di Singapura, tiga peratus di Indonesia serta satu peratus di Filipina dan berharap untuk meningkatkan lagi angka berkenaan dalam masa tiga tahun akan datang, kata Abdul Wahid.
Dengan pembukaan cawangan Laos, Maybank berada secara fizikal di semua 10 negara Asean termasuk tiga cawangan di Brunei dan dua di Vietnam, walaupun tidak melibatkan diri dalam perbankan runcit di Thailand dan Myanmar.
Di Thailand, Maybank mempunyai bank pelaburan, Maybank Kim Eng, dengan 45 cawangan tetapi hanya sebuah pejabat perwakilan di Myanmar.
"Kami merancang untuk menwujudkan cawangan kami sendiri di Thailand menjelang 2014 dan masih berbincang dengan pengawal atur Thai berhubung isu tersebut. Kami juga merancang untuk menukarkan pejabat wakil kami kepada cawangan sepenuhnya.
"Adalah penting bagi kami untuk melengkapkan kehadiran kami di Asean dalam memudahkan perdagangan dan pelaburan di rantau ini memandangkan ia bergerak ke arah Komuniti Ekonomi Asean menjelang 2015," kata Abdul Wahid.
#Datuk Seri Abdul Wahid Omar #laos #Maybank
;