Maybank perluas pembiayaan PKS Runcit di rantau ASEAN

Nurulhana Ismail
Mac 10, 2016 14:46 MYT
Maybank turut menyasarkan agihan sebanyak RM28 bilion bagi segmen PKS Runcit menjelang akhir 2016.
Maybank akan mengembangkan segmen pembiayaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) runcit ke rantau Asean seperti Singapura, Indonesia, Kemboja, Laos, Filipina dan Brunei.
Ia susulan pertumbuhan rancak PKS di rantau ini dengan jumlah 16 juta peluang perniagaan selain sumbangan besar sektor itu terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang dianggarkan antara 50 hingga 60 peratus.
Menurut Ketua kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Datuk Lim Hong Tat ia mensasarkan segmen itu tumbuh pada kadar 27 peratus susulan permintaan memberangsangkan dalam pasaran tempatan dan serantau.
"Perkembangan segmen mikro kredit di Malaysia adalah 78 peratus, bagi PKS runcit kami jangka 14 peratus manakala di rantau ini kami jangka segmen berkembang kepada 27 peratus," ujar beliau pada sidang media oleh Maybank di ibu negara pada Khamis.
Setakat ini lebih daripada 6,000 PKS di seluruh negara sudah menikmati manfaat segmen pembiayaan berkenaan.
Tambahnya, segmen pinjaman perusahaan kecil dan sederhana runcit di rantau ini akan berkembang kepada RM28 bilion tahun ini berbanding RM22.10 bilion tahun lalu dengan penawaran perkhidmatannya yang lebih efisien.
"Kita telah mempercepat proses pinjaman dari 30 hari kepada 5 hari. Kami mahu beri lebih pinjaman bersih kepada pelanggan yang tiada risiko dan kami mahu sediakan permohonan yang mudah tanpa dokumen rumit," kata beliau.
Sementara itu Maybank akan turut mengukuhkan perniagaan kewangan mikro kredit di Malaysia bagi membantu perusahaan kecil.
Dalam tempoh tiga tahun, Maybank telah mengagihkan RM36.23 juta kepada perniagaan mikro, yang memanfaat lebih 4,500 pelanggan
#ASEAN #Maybank #mikro kredit #pembiayaan #perusahaan kecil dan sederhana #pinjaman #PKS #PKS Runcit #RSME
;