Maybank perkenal tawaran cuti bersalin sehingga setahun

Bernama
Mac 8, 2017 23:31 MYT
Nora berkata peningkatan kepada dasar cuti bersalin 90 hari sedia ada itu merupakan satu lagi ciri utama komitmen Maybank terhadap agenda kepelbagaian dan kerangkuman, serta sejajar usaha berterusan bagi menginsankan pengurusan manusia. Gambar fail
Kumpulan Malayan Banking Bhd (Maybank) mengumumkan tawaran tempoh cuti bersalin sehingga setahun yang berkuatkuasa serta merta untuk pekerja wanita yang layak.
Ini menjadikan kumpulan itu sebagai institusi kewangan pertama menawarkan faedah cuti bersalin yang membolehkan pekerja menyambung cuti tambahan daripada 90 hari bergaji penuh kepada tambahan tiga bulan dengan separuh gaji atau enam bulan tanpa gaji.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Nora Manaf bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa peringkat kumpulan itu di Menara Maybank, di sini, pada Rabu.
"Manfaat ini diperkenalkan selepas membuat semakan menyeluruh terhadap dasar dan program yang ditawarkan Kumpulan Maybank.
"Peningkatan kepada dasar cuti bersalin 90 hari sedia ada ini merupakan satu lagi ciri utama komitmen kami terhadap agenda kepelbagaian dan kerangkuman Maybank serta sejajar usaha berterusan kami bagi menginsankan pengurusan manusia," katanya.
Selain itu, Maybank turut memperkenalkan dasar cuti sabatikal bagi semua kakitangan yang layak untuk mengambil cuti minimum tiga bulan sehingga 24 bulan.
-- BERNAMA
#cuti bersalin #cuti setahun #Hari Wanita Antarabangsa #Kumpulan Malayan Banking Bhd #Maybank #nora manaf