Maybank lancar aplikasi MAE, mungkin menggantikan M2U
Astro Awani
Oktober 8, 2020 13:39 MYT
Oktober 8, 2020 13:39 MYT
KUALA LUMPUR: Maybank hari ini melancarkan MAE by Maybank2u, suatu aplikasi baharu yang dilengkapi dengan ekosistem unik.
Aplikasi ini mampu menguruskan hal kewangan harian, termasuk menabung, mengenal pasti perbelanjaan dan mempunyai kebolehan e-dompet.
Ia membolehkan pelanggan membuat pembayaran secara QR dan dompet digital MAE, serta mempunyai penambahan ciri-ciri baharu yang membantu pelanggan menguruskan kewangan lebih baik.
Menurut Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, MAE by Maybank2u dikembangkan untuk menjadi lebih bermakna, bukan sekadar aplikasi perbankan sahaja.
"Kami mahu aplikasi ini menjadi suatu platform yang menyeluruh untuk membantu pelanggan kami menguruskan hal kewangan harian mereka.
"Bayangkan aplikasi ini sebagai bank digital yang mudah dibawa ke mana sahaja bersama anda tetapi dengan banyak ciri menarik untuk membantu anda mengawal urusan kewangan dengan lebih baik.
"Walaupun aplikasi ini mengandungi ciri-ciri sedia ada dalam Maybank2u untuk membantu mengurus keperluan harian anda seperti membayar bil dan pindahan wang, kami juga memperkenalkan pelbagai kemudahan baharu untuk membantu pelanggan memantau perbelanjaan sambil mendorong mereka untuk menabung,” tambahnya.
Bagi membantu pelanggan memahami tabiat berbelanja mereka dengan lebih baik, Abdul Farid berkata, Maybank mewujudkan satu ciri baharu “Expenses” yang memberikan pandangan menyeluruh mengenai semua perbelanjaan yang dibuat melalui akaun, kad dan transaksi QR Maybank.
Perbelanjaan ini disusun mengikut kategori yang mudah difahami seperti Makanan, Utiliti dan Membeli-belah, memberi pelanggan gambaran lebih mendalam tentang perbelanjaan wang mereka.
Bahkan, transaksi tunai yang biasanya tidak direkod oleh aplikasi ini boleh ditambah dengan beberapa langkah mudah.
MASA HADAPAN M2U?
Ditanya berhubung masa hadapan Maybank2u, iaitu sistem perbankan atas talian Maybank, susulan pelancaran aplikasi baharu tersebut, Abdul Farid berkata:
"MAE adalah produk baharu yang ditawarkan kepada pelanggan.
"Pengkhususan dan tumpuan warga Maybank kini adalah terhadap produk ini, bagi membolehkan pengguna menikmati perbankan digital yang lebih menyeluruh."
GALAKAN AMALAN MENABUNG
Tabung merupakan satu lagi ciri baharu yang diperkenalkan untuk membantu pelanggan Maybank menyimpan duit secara konsisten dan berkala, untuk mencapai matlamat mereka.
Ini membolehkan amalan menabung menjadi lebih senang, progresif dan mudah dengan memadankan proses berjimat dengan gaya hidup mereka.
KAD DEBIT BAHARU?
Bagi melengkapkan penggunaan dompet MAE untuk perbelanjaan seharian, Maybank memperkenalkan kad Debit MAE Visa baharu.
Kad ini dilengkapi dengan pelbagai faedah termasuk kadar pertukaran asing yang kompetitif dan faedah eksklusif untuk dinikmati di dalam dan luar negara.
Pelanggan boleh membuat permohonan kad debit melalui aplikasi MAE dengan mudah dan kad akan dihantar terus kepada mereka selepas mendapat kelulusan.
Apabila aktiviti perjalanan luar negara kembali selamat, jumlah dalam dompet MAE akan ditukar secara automatik ke matawang negara yang diziarahi, membolehkan pelanggan mengetahui dengan tepat jumlah dana perbelanjaan yang ada.
Selain itu, MAE by Maybank2u juga mempunyai ciri baharu yang menyeronokkan iaitu roda Makan Mana yang membantu mengesyor pilihan tempat makan sambil membolehkan pelanggan Maybank menikmati promosi daripada ribuan rakan niaganya di seluruh negara.
#Maybank
#mae
#M2U
#farid alias
#simpanan
#CIMB
#Cimb Clicks
#e wallet
#perbankan digital
#Aplikasi mudah alih
#m2u online
#kad debit
#Visa
#Mastercard