Maybank jamin data pelanggan, sistem selamat

Agensi
Julai 24, 2024 06:03 MYT
Maybank memandang serius kebimbangan mengenai keselamatan dan akan terus memantau serta memastikan data-datanya dilindungi pada setiap masa. - Gambar fail
SHAH ALAM: Maybank menjelaskan bahawa sistemnya selamat dan maklumat pelanggan dilindungi sepenuhnya, susulan wujud dakwaan pangkalan data bank itu diterbitkan di forum dark web.
Maybank dalam satu kenyataan pada Rabu menjelaskan, pihaknya memandang serius kebimbangan mengenai keselamatan dan akan terus memantau serta memastikan datanya dilindungi setiap masa.
Menurut Maybank, pihaknya melakukan pelbagai langkah untuk menangani penipuan termasuk penggunaan Secure2U bagi pengesahan transaksi.
Tempoh bertenang untuk peningkatan had transaksi, menjamin transaksi dalam talian pelanggan terus dilindungi, tambah Maybank.
“Pelanggan juga diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan melindungi maklumat mereka. Sila pastikan ID pengguna, kata laluan dan butiran peribadi tidak didedahkan, berhati-hati terhadap perisian hasad, mesej WhatsApp dan laman web phishing serta panggilan telefon yang tidak dikenali,” jelas kenyataan itu.
Sejak Selasa, wujud dakwaan insiden ketirisan data kedua melibatkan syarikat Malaysia yang dijual menerusi sebuah forum.
Insiden sama didakwa berlaku minggu apabila data yang didakwa milik empat juta pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi telah dijual, namun akhirnya didapati hanya melibatkan data lama.
#Maybank #pangkalan data bank #transaksi dalam talian #forum dark web