Maybank Investment Bank yakin dengan prospek kewangan MAHB pada 2017

Bernama
Januari 31, 2017 13:12 MYT
Trafik lapangan terbang Malaysia MAHB kembali seperti biasa dan kos unit turun pada suku ketiga 2016. - Gambar fail
Maybank Investment Bank yakin dengan prospek Malaysia Airports Holdings Bhd bagi 2017 dan menjangka pertumbuhan lapan peratus dalam trafik udaranya.
Bagaimanapun, bank pelaburan itu berkata lapangan terbang Turki MAHB dijangka mencatatkan pertumbuhan trafik perlahan disebabkan peningkatan gangguan kekacauan dalam negara itu.
Ia berkata trafik lapangan terbang Malaysia MAHB kembali seperti biasa dan kos unit turun pada suku ketiga 2016.
"Syarikat penerbangan Malaysia akan menempatkan 17 pesawat pada 2017. Ini adalah dalam norma jajaran 12-18 pesawat ditempatkan setahun dan mencukupi bagi pertumbuhan trafik enam hingga lapan peratus di lapangan terbang Malaysia," kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Maybank Investment Bank berkata inisiatif MAHB adalah untuk menambah baik lapangan terbangnya dan pembangunan simpanan tanahnya akan memberi manfaat kepada pengendali lapangan terbang itu dalam tempoh jangka panjang.
Ia mengekalkan saranan 'beli' bagi saham MAHB.
Dalam satu kenyataan berasingan, Himalaya Airlines mengumumkan operasi penerbangan terus berjadual ke Kuala Lumpur bermula 10 Feb bagi laluan Kuala Lumpur/Kathmandu/Kuala Lumpur dengan menggunakan pesawat A320-214.
Tambang bagi penerbangan Kuala Lumpur-Kathmandu-Kuala Lumpur bermula daripada RM928 bagi perjalanan pergi balik dan tambang bagi penerbangan Kathmandu-Kuala Lumpur-Kathmandu ialah sebanyak NPR 25,375.
Himalaya Airlines, ialah syarikat penerbangan usaha sama Nepal-China yang ditubuhkan pada Ogos 2014.
Syarikat penerbangan penuh itu yang memulakan operasi penerbangan berjadualnya dari 31 Mei, 2016, melakukan penerbangan terus ke Doha, Qatar dan ke Colombo, Sri Lanka pada 1 Okt.
-- BERNAMA
#kewangan #MAHB #maybank investment #perbankan #trafik udara
;