Maybank IB kekalkan saranan 'neutral' bagi sektor perbankan meskipun pengurangan OPR

Bernama
Julai 15, 2016 14:41 MYT
Maybank IB berkata pertumbuhan pinjaman tidak dijangka meningkat dengan ketara kerana paras hutang isi rumah adalah tinggi pada 89.1 peratus ada akhir 2015 berbanding hanya 60.4 peratus pada akhir 2008.
Maybank Investment Bank (IB) Research mengekalkan saranan 'neutral' bagi sektor perbankan meskipun pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas.
Maybank IB dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata pengurangan itu dijangka hanya memberi kesan negatif kecil bagi pendapatan bank, tetapi ini ditampan sebahagiannya daripada kenaikan kadar dasar 10 mata asas oleh beberapa bank.
"Kami tidak menolak kemungkinan bank-bank lain akan turut berbuat demikian dan unjuran kami dikekalkan, berdasarkan jangkaan impak kepada pertumbuhan pinjaman juga dijangka kecil," kata firma penyelidikan itu.
Ia juga berkata pertumbuhan pinjaman tidak dijangka meningkat dengan ketara kerana paras hutang isi rumah adalah tinggi pada 89.1 peratus ada akhir 2015 berbanding hanya 60.4 peratus pada akhir 2008.
Selain itu, kadar kelulusan pinjaman industri merosot dan pinjaman/deposit meningkat hari ini pada 87.6 peratus pada akhir Mei 2016 berbanding hanya 77.9 peratus pada April 2009.
"Ini dan ditambah dengan penurunan pertumbuhan deposit, bank-bank dijangka terus mengambil pendekatan memilih dalam aktiviti berian pinjaman mereka," kata Maybank IB.
#kadar dasar semalaman #Maybank Investment Bank #saranan neutral
;