Maybank IB kekal saranan 'pegang' terhadap TNB dengan TP RM9.60
Dagang News
Februari 11, 2022 08:22 MYT
Februari 11, 2022 08:22 MYT
KUALA LUMPUR: Maybank Investment Bank (IB) Research mengekalkan penarafan saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) dengan saranan 'pegang' dan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM9.60 berikutan keputusan mahkamah mengenai pertikaian cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Pada Selasa, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan TNB untuk mengetepikan taksiran cukai berjumlah RM1.8 bilion oleh LHDN bagi tahun taksiran 2018.
Penganalisisnya, Tan Chi Wei berkata, setakat ini tidak dapat dipastikan bila TNB boleh mendapatkan semula pendahuluan cukainya.
Bagaimanapun, katanya, keputusan itu menjadi petanda baik kepada pertikaian TNB yang lain dan pertikaian serupa untuk tahun-tahun taksiran sebelumnya, sekali gus mengurangkan kes tergantung begitu lama.
"Namun begitu, dengan harga arang batu yang sangat tinggi, ini bermakna kebimbangan terhadap mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) akan terus menjadi tumpuan.
"Sehubungan itu, walaupun penilaian ini menarik, tetapi kami berpendapat saham itu tidak mungkin dinilai semula dengan ketara disebabkan kebimbangan yang berlarutan terhadap mekanisme ICPT," katanya dalam nota kajian.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin dalam penghakimannya, bersetuju bahawa jumlah berkenaan (RM1.8 billion) dianggap sebagai elaun pelaburan semula (RA).
Malah, hakim juga tidak bersetuju dengan hujahan LHDN bahawa TNB tidak berhak kepada RA kerana ia diklasifikasikan sebagai bukan dalam sektor pengilangan elektrik dan sebaliknya hanya penyedia perkhidmatan.
Pertikaian undang-undang itu, timbul apabila LHDN tidak membenarkan tuntutan RA TNB bawah Jadual 7A Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP) atas alasan pengagihan dan penghantaran penjanaan elektrik oleh TNB bukan termasuk dalam sektor pengilangan elektrik.
Keputusan mahkamah itu memberi impak yang baik terhadap rayuan cukai lain yang dibuat oleh TNB berhubung RA untuk tahun taksiran awal 2003 hingga 2007 dan 2009 hingga 2017 yang berjumlah RM5.8 bilion dalam bentuk cukai tambahan dan bayaran balik. - DagangNews.com