Maybank akan ambil alih AMB dan SUTL untuk RM51 juta

Bernama
Disember 13, 2017 21:00 MYT
Maybank berkata, langganan itu akan membolehkan Kumpulan MAMG memanfaatkan kepakaran PNB dalam peruntukan serta strategi pelaburan untuk dana runcit serta pembangunan produk unit amanah yang menarik untuk pelabur runcit. - Gambar fail
Maybank Asset Management Group Bhd (MAMG) telah memeterai dua perjanjian pembelian saham bersyarat masing-masing dengan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dan PNB International Limited, bagi mengambil alih keseluruhan ekuiti dalam Amanah Mutual Bhd (AMB) dan Singapore Unit Trust Limited (SUTL) untuk RM51 juta.
MAMG juga akan memeterai perjanjian langganan saham bersyarat dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang akan melanggan 8.34 juta saham biasa baharu dalam MAMG untuk RM50 juta tunai, kata Malayan Banking Bhd (Maybank), syarikat induk MAMG, dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Maybank, MAMG dan PNB juga akan memeterai perjanjian pemegang saham, selepas selesai cadangan langganan, bagi membentuk asas tadbir urus untuk operasi MAMG dan untuk mentadbir tingkah laku, pelaksanaan hak dan pelaksanaan kewajiban MAMG dan PNB," katanya.
Pembelian itu akan melengkapkan perniagaan sedia ada MAMG kerana ia akan membantu kehadirannya dalam pasaran runcit perniagaan pengurusan aset di Malaysia dan Singapura.
"Ia juga akan mewujudkan entiti yang lebih besar dengan kepakaran pelaburan yang lebih mendalam dan seterusnya membolehkan MAMG memanfaatkan bidang pertumbuhan dengan akses kepada pasaran runcit di Malaysia.
"MAMG juga akan boleh mengembangkan kehadiran dalam pasaran runcit dan institusi di Singapura," katanya.
Maybank berkata, langganan itu akan membolehkan Kumpulan MAMG memanfaatkan kepakaran PNB dalam peruntukan serta strategi pelaburan untuk dana runcit serta pembangunan produk unit amanah yang menarik untuk pelabur runcit.
"Dengan pembabitan lembaga PNB, MAMG boleh memanfaatkan pengalaman PNB dalam mengurus dana runcit di dalam dan di luar Malaysia, di samping pembangunan produk runcit dalam membangunkan keseluruhan pelan perniagaan dan strategi pelaburan Kumpulan MAMG yang telah diperbesar," tambahnya. - BERNAMA
#Amanah Mutual Bhd #Amanah Saham Nasional Bhd #Bursa Malaysia #Maybank #Maybank Asset Management Group Bhd #Permodalan Nasional Bhd #Singapore Unit Trust Limited
;