Maxis ulangi komitmen untuk tandatangani perjanjian akses 5G dengan DNB
Bernama
Jun 7, 2023 20:55 MYT
Jun 7, 2023 20:55 MYT
KUALA LUMPUR: Maxis Bhd (Maxis) mengulangi komitmennya untuk menandatangani perjanjian akses 5G dengan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk menyediakan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya Goh Seow Eng tidak mendedahkan bila syarikat itu akan menandatangani perjanjian itu secara rasmi dengan DNB.
"Sebenarnya bukan masalah Maxis tidak menandatangani perjanjian, kami akan menandatangani perjanjian akses tetapi liputan rangkaian masih menjadi isu dan ini adalah sesuatu yang saya ingin ketengahkan.
"Ia adalah sesuatu yang kita masih perlu bekerjasama dan di sini...semua rangkaian (penyedia) akan turut serta," katanya semasa sesi perbincangan bertajuk "Rethinking the 5G model-Building Tomorrow's Infrastructure, Today", pada persidangan Invest Malaysia Siri 2 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Terdahulu semasa ucaptama, Fahmi mengumumkan bahawa Maxis telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian akses untuk penggunaan 5G.
"Saya kini boleh memaklumkan kepada anda, Insya-Allah, Maxis akan menandatangani perjanjian akses berkenaan tidak lama lagi," katanya.
Setakat ini, Maxis adalah satu-satunya pengendali rangkaian mudah alih (MNO) utama yang masih belum melaksanakan perjanjian akses untuk perkhidmatan 5G dengan DNB.
Rangkaian 5G Malaysia telah mencapai 62.1 peratus liputan kawasan berpenduduk (CoPA) setakat 31 Mei 2023, melibatkan 5,058 tapak.
-- BERNAMA