Maxis, Singtel perkenal platform semua dalam satu rangkaian 5G pertama Malaysia

Dagang News
Ogos 14, 2024 04:50 MYT
Goh Seow Eng (kiri) dan Manoj Prasanna Kumar (kanan) semasa penukaran MoU yang diadakan semasa Sidang Kemuncak MCY 2024. -Dagang News
KUALA LUMPUR: Maxis menjalinkan kerjasama dengan Singtel bagi memperkenalkan platform semua dalam satu yang merangkumi pengaturan rangkaian 5G pertama di Malaysia semasa Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024 pada Selasa.
Rangkaian 5G itu akan meliputi pengkomputeran pinggir (edge computing), awan dan perkhidmatan, berasaskan platform Paragon oleh Singtel yang disediakan untuk rangkaian telekomunikasi.
Platform tersebut juga akan membolehkan teknologi 5G-Advanced (5G-A) dan 5G, pengkomputeran pinggir dan pengkomputeran berbilang awan (multi-cloud) lebih mudah diakses oleh perniagaan Malaysia serta mempercepatkan transformasi digital merentasi pelbagai vertikal seperti pembuatan, logistik, kesihatan dan perkhidmatan awam.
Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng dan Ketua Pegawai Teknologi Singtel Digital InfraCo, Manoj Prasanna Kumar telah diadakan di pameran Maxis semasa acara tersebut.
Menerusi MoU itu keupayaan pengkomputeran pinggir berbilang akses (multi-access edge computing, MEC), data Maxis daripada pengguna akhir dan peranti dapat diproses di pinggir rangkaian.
Selain itu, platform Paragon milik Singtel menawarkan suatu pasaran untuk pelanggan dan rakan kerjasama Maxis, lantas menjadikannya mudah bagi perusahaan untuk membuat penghirisan rangkaian (network slicing) atas permintaan dan menggunakan aplikasi 5G yang bermisi kritikal pada MEC.
Eng berkata, kerjasamanya bersama Singtel akan memenuhi keperluan pelanggan dengan menyediakan platform 5G bersepadu yang memudahkan pengaturan rangkaian 5G merentas persekitaran rangkaian dan awan.
"Platform ini membolehkan akses, kelajuan dan fleksibiliti yang lebih besar untuk perusahaan mengguna pakai serta mengurus penyelesaian 5G dan pengkomputeraan awan dengan lancar sekali gus memberikan manfaat kepada perniagaan teras mereka, mengukuhkan lagi daya saing mereka di peringkat global." ulas beliau.
Di samping itu, Chang menekankan peralihan besar dalam permintaan daripada perusahaan untuk keupayaan 5G dan pengkomputeran pinggir untuk mempercepatkan transformasi digital mereka.
"Melalui kerjasama ini, Paragon membolehkan penjanaan keuntungan lebih pantas bagi infrastruktur 5G dengan mengurangkan kerumitan Maxis untuk menyediakan dan menskalakan kes penggunaan 5G bagi membangunkan perusahaan Malaysia," ujarnya - DagangNews.com
#Maxis #rangkaian 5G #platform semua dalam satu #Singtel Digital InfraCo