Maxis sedia berinovasi, teroka peluang baharu dalam hadapi pandemik - CEO
Agensi
Mac 24, 2021 21:15 MYT
Mac 24, 2021 21:15 MYT
KUALA LUMPUR: Maxis Bhd (Maxis) akan terus berinovasi dalam meneroka peluang baharu khususnya ketika pandemik COVID-19 meningkatkan tekanan terhadap ekonomi Malaysia dan membawa cabaran tersendiri terhadap sektor telekomunikasi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gokhan Ogut, berkata di peringkat global industri telekomunikasi mengalami tekanan kerana peningkatan persaingan dengan banyak pemain industri mengalami kemerosotan pendapatan namun perlu terus meningkatkan pelaburan bagi memperluaskan jaringan.
"Maxis tetap fokus pada cita-cita kami dan terus dipandu oleh strategi pertumbuhan kukuh dan tujuan jenama kami.
"Kami akan meningkatkan usaha untuk memenuhi keperluan gaya hidup digital, dan membentuk kembali Maxis dengan model operasi yang sempurna, dilengkapi dengan cara baharu untuk terus maju," kata Ogut dalam laporan tahunan yang difailkan kepada Bursa Malaysia hari ini.
COVID-19, kata Ogut, adalah fenomena global yang menimpa semua industri secara tiba-tiba sehingga kesannya tidak dapat dielakkan.
Bagaimanapun kecekapan keluarga Maxis bertindak balas terhadap situasi itu telah membawa mereka mengatasi cabaran besar tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, biarpun prestasi dan pemulihan ekonomi Malaysia masih perlahan, Maxis percaya COVID-19 telah mempercepat pembangunan ekonomi digital di negara ini.
Katanya, pandemik itu juga mendorong penerapan digitalisasi dalam era Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).
"Kami yakin dengan komitmen dan juga fokus kami pada strategi pertumbuhan akan membolehkan kami lebih kuat pada tahun yang akan datang," katanya.
Pada Isnin, Maxis memaklumkan Arshad meletak jawatan sebagai Pengerusi Maxis berkuat kuasa 22 April ini dan akan dilantik semula sebagai Pengarah Bebas Maxis berkuat kuasa pada tarikh sama.
Pengarah Bebas Maxis, Tan Sri Mokhzani Mahathir pula akan dilantik sebagai Pengerusi Maxis bagi menggantikan Arshad.
Di Bursa hari ini, harga saham Maxis naik dua sen atau 0.43% kepada RM4.62 dengan nilai pasaran sekitar RM36.13 bilion.
#Maxis
#Bursa Malaysia
#COVID-19
#ekonomi
#pelaburan
#pandemik
#ekonomi digital
#inovasi
#teroka peluang baharu