Maxis lancar pelan MaxisONE World
Pritha Manivannan
Februari 25, 2016 19:07 MYT
Februari 25, 2016 19:07 MYT
Pengguna talian pascabayar MaxisONE kini boleh menggunakan pelan tersebut apabila mengembara ke luar negara melalui MaxisONE World.
Menurut kenyataan akhbar Maxis, pelan ini akan menghapuskan kebimbangan dan ketidakpastian perkhidmatan perayauan.
Ketua Perniagaan Pengguna Maxis, Dushyan Vaithiyanathan berkata Maxis berharap dengan pelancaran MaxisONE World pelanggan dapat berkomunikasi secara bebas tanpa bimbang mengenai caj yang tidak diketahui atau kejutan bil.
"Kami telah menyoal mengapa para pelanggan tidak dapat berkomunikasi secara bebas apabila berada di luar negara. Ini bukan sahaja mengenai perayauan, tetapi cara pascabayar patut ditawarkan," kata Dushyan.
Pada fasa pertama, MaxisONE World akan ditawarkan ke lapan buah negara ASEAN terlebih dahulu iaitu Singapura, Indonesia, Thailand, Myanmar, Brunei, Filipina, Cambodia dan Laos.
MaxisONE World boleh didapati pada kadar menarik RM38 sehari dengan pelbagai kegunaan.
Caj tidak akan dikenakan untuk pelbagai aktiviti termasuk membuat panggilan dan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) di luar negara, menerima panggilan antarabangsa, menggunakan aplikasi melancong yang popular, merantau dalam rangkaian yang salah secara tidak sengaja dan data berkelajuan tinggi apabila merantau.
Selain itu, pelanggan dapat menikmati perayauan tambahan percuma sebanyak 500MB setiap hari.
MaxisONE World juga meliputi insurans perjalanan termasuk kecurian, kemalangan dan kesulitan lain.
Pelanggan boleh menikmati MaxisONE World selepas mengaktifkan perantauan data selepas sampai ke destinasi pelancongan.