Maxis catat untung bersih suku pertama RM298 juta

Bernama
April 28, 2022 20:58 MYT
Prestasi berdaya tahan kumpulan telekomunikasi itu jelas menunjukkan bahawa strategi konvergennya berada di landasan yang betul.
KUALA LUMPUR: Maxis Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah kepada RM298.0 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2022, daripada RM334.0 juta, dengan pertumbuhan kukuh dalam segmen gentian dan perusahaan serta pelaburan yang lebih tinggi dalam perniagaan mudah alih.
Hasilnya, bagaimanapun, meningkat kepada RM2.41 bilion pada suku pertama berbanding RM2.24 bilion tahun ke tahun, disumbangkan oleh hasil yang lebih tinggi dalam perkhidmatan, perniagaan pengguna serta segmen perusahaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Gokhan Ogut berkata prestasi berdaya tahan kumpulan telekomunikasi itu jelas menunjukkan bahawa strategi konvergennya berada di landasan yang betul.
"Keutamaan kami adalah untuk terus menyampaikan rangkaian konvergen yang hebat dengan pengalaman peribadi yang tiada tandingan merentas semua saluran untuk pelanggan kami. Kami komited untuk membina dan menghubungkan komuniti bagi masa depan digital negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Maxis berkata, perbelanjaan modal bagi suku tersebut berjumlah RM171 juta, meningkat 25.7 peratus tahun ke tahun apabila kumpulan itu terus melabur dengan banyak dalam mengukuhkan akses dan platformnya di mana-mana sahaja untuk menyampaikan penyelesaian perusahaan serta kapasiti pengimbangan semula.
Sementara itu, aliran tunai bebas operasi, yang dinormalisasi untuk Pemberian Perkhidmatan Sejagat RM185 juta, kekal teguh pada RM669 juta, meningkat 11.3 peratus tahun ke tahun, didorong oleh tumpuan yang kuat pada inisiatif modal kerja dan pengurusan aliran tunai.
Maxis berkata ia telah mencapai sasaran komersial untuk JENDELA pada suku pertama 2022, mempercepatkan kapasiti untuk mudah alih dan tetap, dengan 12 tapak baharu, 609 dinaik taraf dan memperluaskan jejak gentian kepada 3,000 premis yang diluluskan.
Melangkah ke hadapan, Maxis berkata ia memantau dan menilai dengan teliti kesan penyertaan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd, pelancaran komersial 5G dan COVID-19.
"Bagaimanapun, butiran pelancaran 5G komersial kekal dalam rundingan di seluruh industri dan apabila dimuktamadkan, boleh menjejaskan pendekatan pelaksanaan, garis masa dan prestasi kewangan masa hadapan kami. Kumpulan menilai impak berdasarkan maklumat yang ada," tambahnya.
Maxis mengisytiharkan dividen interim sebanyak 5 sen bersih sesaham untuk suku tersebut.
-- BERNAMA
#Maxis #keuntungan bersih #suku pertama #perniagaan mudah alih #Gokhan Ogut #telekomunikasi
;