Maxis bentuk perikatan 5G terbesar percepatkan penemuan teknologi

Bernama
Jun 15, 2022 22:09 MYT
Maxis 5G Alliance itu akan bermula dengan 16 ahli yang terdiri daripada rakan kongsi teknologi dan industri global serta tempatan, inovator selain rakan kongsi pelanggan strategik. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Maxis Bhd membentuk perikatan 5G terbesar di Malaysia untuk mempercepatkan penemuan teknologi dan penyelesaian perusahaan Internet Pelbagai Benda (IoT) seiring dengan agenda digital negara.
Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata Maxis 5G Alliance itu akan bermula dengan 16 ahli yang terdiri daripada rakan kongsi teknologi dan industri global serta tempatan, inovator selain rakan kongsi pelanggan strategik dari pelbagai industri untuk memanfaatkan ekosistem simbiotik dan membuka nilai lumayan teknologi Revolusi Industri 4.0.
Antara ahli tersebut ialah Advantech, Amdocs, CrescoNet (dahulunya syarikat kumpulan Intellihub), Cisco, Google Cloud, GSMA (Komuniti Industry 5G APAC), Huawei, LLVision, Microsoft, MIMOS, Motorola Solutions, NEC, Omron, Realwear, SAS dan Vodafone.
"Perikatan ini bakal mencipta, mengkomersialkan dan menskalakan kes penggunaan 5G dan penyelesaian inovatif rentas industri untuk memacu transformasi digital serta inovasi," katanya.
Penyedia penyelesaian konvergen itu berkata komuniti tersebut bakal berkembang berasaskan kolaborasi terbuka merentas semua organisasi yang boleh mempercepatkan penerimaan dan penggunaan inovasi didayakan oleh 5G dan salinghubungan rangkaian tertumpu.
"Organisasi ahli ini disusun merangkumi tiga aliran iaitu rakan kongsi teknologi dan industri, inovator dan rakan kongsi pelanggan strategik," katanya.
Maxis juga berkata melalui rakan kongsi berbilang kepakaran dalam ekosistem Maxis 5G Alliance, pelanggan dapat meraih pelbagai manfaat daripada rangkaian ini melalui Program 'Sell and Grow', Program Interaksi dan Pertukaran serta Program Inovasi dan Bina.
"Semua penyelesaian dan kes penggunaan akan dikuasakan oleh Maxis Programmable Network, sebuah rangkaian maju program perisisan diiktiraf di Malaysia yang akan menyediakan rangkaian luas penyelesaian informasi dan komunikasi (ICT) tertumpunya yang memenuhi spektrum penuh keperluan perniagaan," tambahnya.
Untuk maklumat lanjut tentang Maxis 5G Alliance dan penyertaan ahli, sila layari https://business.maxis.com.my/en/campaign/5g-alliance
-- BERNAMA
#Maxis #5G #perikatan 5G #teknologi
;