Mavcom unjur trafik penumpang melangkaui 84.5 juta pada 2023, 93.9 juta untuk 2024

Bernama
Disember 27, 2023 16:40 MYT
Dalam Laporan Industri edisi ke-14 'Waypoint' yang dikeluarkan hari ini, suruhanjaya itu juga menjangkakan angka penumpang bagi 2024 melebihi 93.9 juta. -Gambar hiasan/Unsplash
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah menyemak semula unjuran untuk trafik penumpang 2023 kepada 84.5 juta dan 86.5 juta, mengatasi unjuran awal.
Dalam Laporan Industri edisi ke-14 'Waypoint' yang dikeluarkan hari ini, suruhanjaya itu juga menjangkakan angka penumpang bagi 2024 melebihi 93.9 juta.
Sektor penerbangan Malaysia telah mengalami pertumbuhan yang memberangsangkan dalam trafik penumpang selepas pandemik COVID-19, mencecah 69.9 juta dalam tempoh sepuluh bulan pertama 2023, yang mana, lonjakan itu telah mendorongnya untuk menyemak semula ramalan pada 2023.
Pengerusi Eksekutif Mavcom Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata pertumbuhan dalam trafik penumpang telah menyerlahkan pemulihan berterusan sektor penerbangan di Malaysia.
"Melihat ke hadapan, kami menjangkakan untuk melihat pemulihan yang lebih ketara dalam trafik penumpang 2024.
"Suruhanjaya menjangkakan bilangan penumpang antara 93.9 juta hingga 107.1 juta. Ini menunjukkan pemulihan hampir 98 peratus daripada tahap pandemik sebelum COVID-19 yang dilihat pada 2019," katanya.
Mavcom menjelaskan lonjakan itu dijangka akan didorong oleh peningkatan perjalanan domestik serta antarabangsa, khususnya ke China dan rantau Asean.
"Bagaimanapun, terdapat potensi cabaran yang perlu dipertimbangkan seperti kenaikan kos bahan api jet, penyusutan nilai ringgit, kemungkinan berlaku kelewatan dalam penghantaran pesawat dan isu tenaga kerja, ini semua menambah elemen berhati-hati kepada unjuran kami," katanya lagi.
Mavcom ketika mengulas mengenai volum kargo udara Malaysia berkata ia menyaksikan kemerosotan sebanyak 15.3 peratus dari tahun ke tahun atau kepada 4.7 bilion tan muatan kilometer (FTK) pada suku ketiga 2023.
Oleh itu, suruhanjaya itu menyelaraskan jangkaan kargo udara 2023 kepada menurun, dan kini meramalkan penyusutan antara 13.5 peratus dan 14.1 peratus, bersamaan dengan 18.7 bilion hingga 18.8 bilion FTK.
Walaupun adanya kemelesetan ini, anjakan positif diramalkan untuk 2024, dengan jangkaan pertumbuhan kargo antara 6.0 peratus kepada 6.6 peratus, berpotensi mencecah 19.8 bilion hingga 20.0 bilion FTK.
Kenaikan yang dijangkakan ini disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada 2023, kemungkinan peningkatan dalam kitaran teknologi global, pemulihan yang berterusan di China termasuk pengukuhan ekonomi yang lebih meluas.
Katanya lagi, Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai negara kelima paling berhubung di Asean, mencapai skor ketersambungan yang mengagumkan iaitu 79.7 pada tiga suku pertama 2023.
Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mengekalkan statusnya sebagai lapangan terbang ketiga paling bersambung di rantau ini, dengan skor sambungan udara terus sebanyak 59.9.
Lapangan Terbang Antarabangsa Singapura kekal di barisan hadapan dengan skor 102.1, diikuti Lapangan Terbang Bangkok Suvarnabhumi pada 89.1.
Sepanjang sembilan bulan pertama 2023, Mavcom memberikan sejumlah 173 tambahan Hak Trafik Udara (ATR), yang mana 44 ATR diperuntukkan untuk laluan domestik dan 129 ATR bagi destinasi antarabangsa.
Malindo Airways Sdn Bhd (Batik Air) menerajui ATR antarabangsa paling banyak dengan sejumlah 35 ATR, diikuti AirAsia Bhd serta Malaysia Airlines Bhd, masing-masing dengan 30 dan 18 ATR.
Dari segi penagihan serantau, Asean menerima bahagian terbesar dengan 48 ATR yang diberikan oleh suruhanjaya itu.
Ini diikuti oleh seluruh Asia dengan sejumlah 30 kelulusan ATR untuk laluan penerbangan merangkumi Bangladesh, Hong Kong, Jepun, Macau, Maldives, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan dan Uzbekistan.
"Pengagihan ini menjelaskan komitmen Mavcom untuk mengembangkan kedua-dua sambungan udara domestik dan antarabangsa, dengan tumpuan khusus bagi meningkatkan hubungan dalam rantau Asean," tambahnya.
-- BERNAMA
#mavcom #penerbangan Malaysia #trafik penumpang #Saripuddin Kasim
;