MAVCOM umum kadar baru Caj Perkhidmatan Penumpang

Astro Awani
Oktober 31, 2016 18:48 MYT
Gambar fail: Foto diambil pada 11 Disember 2014 menunjukkan seorang pelancong sedang melihat papan maklumat di KLIA. - Foto AFP
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) memperkenalkan caj perkhidmatan penumpang (PSC)
yang baharu dan lebih rendah untuk penerbangan ASEAN.
Bermula 1 Januari 2017, PSC akan dikurangkan daripada RM65 kepada RM35 untuk setiap penumpang dalam penerbangan ke mana-mana destinasi ASEAN dari semua lapangan terbang utama di Malaysia.
Malaysia merupakan negara pertama di ASEAN yang memperkenalkan kategori PSC ASEAN dan pengenalan ini dijangka akan meningkatkan pergerakan trafik keluar dan masuk dari negara-negara serantau.
Dalam masa yang sama, MAVCOM akan mengambil langkah secara berperingkat untuk menyelaraskan kadar PSC di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dalam usaha menggalakkan persaingan.
Secara permulaan, PSC ke destinasi domestik dan ASEAN akan sama rata di KLIA dan klia2, di mana PSC di kedua-dua terminal dipinda kepada RM11 bagi penerbangan domestik dan RM35 bagi penerbangan ASEAN.
Bagi penerbangan antarabangsa (kecuali ASEAN) pula, kadar PSC semasa di KLIA dan klia2 adalah RM65 dan RM32. Ia akan dipinda kepada RM73 dan RM50.
Kedua-dua pindaan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2017 dan hanya akan dikenakan kepada tiket yang dikeluarkan pada dan selepas tarikh tersebut.
Tiket yang dikeluarkan sebelum 1 Januari 2017 tidak dikenakan kadar baharu walaupun tarikh penerbangan dijadualkan pada atau selepas 1 Januari 2017.
Menurut MAVCOM, caj lapangan terbang penumpang di Malaysia kekal antara yang terendah di peringkat serantau dan global walaupun selepas pindaan dilaksanakan.
Dalam pada itu, MAVCOM berkata semakan terhadap PSC akan dilaksanakan dalam masa setahun dengan tujuan untuk penyamarataan kadar PSC yang lengkap.
Kali terakhir PSC disemak adalah pada 15 September 2011.
#ASEAN #Caj Perkhidmatan Penumpang #KLIA #KLIA2 #mavcom #PSC
;