MAVCOM tegaskan pengguna bukan pemiutang, mahu AirAsia X bayar balik tiket dibeli pelanggan

Bernama
November 12, 2021 21:16 MYT
Pada 11 November 2021, MAVCOM menghantar surat kepada AAX sebagai tindak balas terhadap pelaksanaan penstrukturan semula hutangnya yang berterusan. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berkata ia "dengan jelas dan tidak berbelah-bahagi menggesa AirAsia X Bhd (AAX) menilai semula cadangannya untuk menganggap pengguna perjalanan udara sebagai pemiutang dan hanya membayar 0.5 peratus daripada nilai tiket yang dibeli seperti yang diumumkan pada 18 Oktober 2021."
MAVCOM berkata ia "mengambil pandangan bahawa pengguna perjalanan udara tidak sepatutnya diklasifikasikan sebagai pemiutang kerana pengguna perjalanan udara tidak, antara lain, menjual sebarang produk, menyediakan perkhidmatan atau membuat pinjaman kepada AAX tetapi sebaliknya telah membayar wang bagi pembelian tiket sebagai pendahuluan untuk penerbangan mereka."
"Oleh itu, MAVCOM mengulangi pendiriannya bahawa AAX harus membayar balik pengguna perjalanan udara untuk tiket yang telah dibeli. Jika AAX gagal membayar balik pengguna perjalanan udara yang terjejas dengan sewajarnya, MAVCOM tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasanya di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771)," kata pengawal selia penerbangan awam itu dalam satu kenyataan.
Suruhanjaya penerbangan itu telah menekankan komitmennya untuk melaksanakan tugasnya di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia bagi memastikan hak pengguna perjalanan udara dilindungi.
Pada 11 November 2021, MAVCOM menghantar surat kepada AAX sebagai tindak balas terhadap pelaksanaan penstrukturan semula hutangnya yang berterusan.
Menurut MAVCOM, "AAX telah berulang kali dalam surat-menyuratnya dengan MAVCOM dan dalam kenyataan mereka kepada orang ramai, memberi jaminan bahawa AAX komited untuk membayar balik pengguna perjalanan udara yang tidak dapat terbang kerana pembatalan penerbangan."
-- BERNAMA
#mavcom #AirAsia #bayar semula #harga tiket
;