Mavcom siasat aduan pekerja MYAirline tidak dibayar gaji
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 12, 2023 09:10 MYT
Oktober 12, 2023 09:10 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sedang menyiasat syarikat penerbangan tambah rendah, MYAirline yang memutuskan untuk menggantung operasi berkuat kuasa hari ini.
Ia berdasarkan ulasan dalaman dan aduan yang diterima antaranya mengenai pembayaran berkanun syarikat penerbangan itu yang belum dibayar kepada pekerjanya.
Pada masa sama, Mavcom turut mengarahkan MYAirline untuk segera menguruskan pengguna yang terjejas termasuk memaklumkan tentang penggantungan, selain menerbitkan pemberitahuan menerusi saluran komunikasi syarikat tersebut.
"Mavcom berpendirian teguh bahawa MYAirline masih bertanggungjawab untuk membayar balik pengguna yang telah membeli tiket dengan syarikat penerbangan itu tetapi tidak dapat melakukan perjalanan," memetik kenyataan tersebut.
Malah, suruhanjaya itu turut mengarahkan MYAirline untuk menghentikan serta-merta penjualan dan tempahan penerbangan dari semua platform tempahan sehingga diberitahu kelak.
Mavcom ketika ini sedang berhubung rapat dengan MYAirline dalam menangani isu tersebut dan akan memaklumkan perkembangan lanjut berkaitan operasi MYAirline dalam masa terdekat.