MATTA sasar jualan RM90 Juta Mac 2013

Bernama
Februari 27, 2013 23:13 MYT
Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) Malaysia menyasarkan mengutip RM90 juta jumlah perolehan jualan pada pameran MATTA (MATTA Fair 2013) sesi Mac ini, rendah sedikit berbanding RM106 juta yang direkodkan pada sesi yang sama tahun lepas.
Pada September 2012, pameran perjalanan yang ditunggu-tunggu itu memperoleh perolehan jualan sebanyak RM120 juta.
Pengerusi penganjur MATTA Fair Mac 2013 Jeffri Sulaiman berkata pilihan raya umum ke-13 yang dijangkakan pada Mac, memberi kesan ke atas sentimen penggiat industri itu.
"Seperti yang diketahui ramai, pilihan raya mewujudkan rasa bimbang dalam kalangan pengguna selain peserta. Kami kerap ditanya apakah rancangan MATTA jika pilihan raya berlangsung semasa pameran.
Tidak ada apa yang boleh kami lakukan, pameran mesti diteruskan," katanya pada sidang media mengenai acara itu hari ini.
MATTA Fair 2013 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra dari 15 hingga 17 Mac.
Jeffri berkata MATTA FAIR 2013 akan menarik beberapa perkhidmatan baharu termasuk pengenalan pembelian tiket masuk secara dalam talian, aplikasi mudah alih MATTA dan borang masuk dalam talian untuk pertandingan dalam kalangan pembeli produk pameran MATTA.
Pada majlis itu MATTA menandatangani perjanjian dengan Etihad Airways yang akan menjadi rakan penerbangan rasmi bagi sesi kedua berturut-turut.
#jeffri sulaiman #jualan #Mac 2013 #MATTA Fair 2013
;