MATTA puji langkah SPAD tidak benarkan kenderaan persendirian bagi khidmat pemandu

Bernama
Disember 9, 2014 00:27 MYT
Aplikasi telefon seperti Uber yang menggunakan kereta persendirian untuk perkhidmatan teksi palsu memberi risiko kepada penumpang dan pengguna jalan lain. - Gambar fail
Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyambut baik pendirian tegas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang tidak membenarkan kenderaan persendirian untuk disewakan bagi khidmat pemandu.
“Aplikasi telefon seperti Uber yang menggunakan kereta persendirian untuk perkhidmatan teksi palsu memberi risiko kepada penumpang dan pengguna jalan lain kerana insurans motor adalah batal dan tidak sah apabila sesebuah kenderaan di bawah pendaftaran persendirian digunakan bagi tujuan komersil," kata Naib Presiden bagi Pengangkutan Daratnya Jaya Kumar dalam satu kenyataan pada Isnin.
“Aplikasi tersebut sebenarnya tidak menunjukkan di mana teksi atau kenderaan Uber berada, tetapi hanya semata-mata lokasi telefon yang digunakan oleh pemandu kenderaan berkenaan.
“Sesiapa sahaja yang memiliki telefon berdaftar boleh mengesan permintaan bagi pengangkutan dan pemandu yang mempunyai niat jahat boleh mengeksploitasikan penumpang di kawasan terpencil yang sunyi," katanya.
Beliau berkata persaingan yang adil akan menggalakkan persaingan sihat dan harga yang berpatutan, sambil menambah keselamatan penumpang hanya terjamin sekiranya kedua-dua pengusaha dan juga pemandu mempunyai lesen.
"Industri yang kukuh, mapan dan selamat boleh dicapai apabila pengusaha yang benar-benar ikhlas dibenarkan menyertainya," kata Jaya.
#aplikasi #MATTA #SPAD #teksi #Uber