MATTA Fair 2016 catat peningkatan jumlah pengunjung
Hakim Rahman
Mac 12, 2016 20:58 MYT
Mac 12, 2016 20:58 MYT
Kelembapan ekonomi termasuk kejatuhan nilai ringgit tidak menghalang orang ramai membanjiri Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Pada hari pertama pameran, hampir 30,000 pengunjung ke pameran MATTA Fair-14.
Presiden MATTA, Datuk Hamzah Rahmat berkata jumlah itu di luar jangkaan kerana hari pertama pameran bermula pada hari bekerja iaitu pada Jumaat.
Malah ia dijangka mencecah 100,000 pengunjung sepanjang pameran berlangsung.
"Salah satu sebab kerana kita telah mempromosikan pelancongan tempatan dan saya rasa mereka yang datang untuk membeli pakej tempatan,
"Negeri-negeri juga memperhebatkan promosi mereka jadi jumlah pelancongan domestik ini dijangka akan terus berkembang," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian MATTA Fair-14 pada Sabtu.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Perdagangan Dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong.
MATTA Fair-14 yang bermula 11 Mac sehingga 13 Mac menghimpunkan lebih seribu gerai syarikat pelancongan, penerbangan, dan ejen-ejen persiaran.