MATRADE sasar jualan eksport MIHAS@Dubai bernilai RM1 bilion

Bernama
Oktober 22, 2024 04:00 MYT
Reezal Merican berkata MIHAS@Dubai memainkan peranan penting meletakkan Malaysia sebagai negara terkemuka di peringkat antarabangsa dalam landskap halal. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan jualan eksport daripada MIHAS@Dubai bernilai RM1 bilion.
Acara itu yang julung-julung kali diadakan bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Dubai dengan menarik kira-kira 250 syarikat Malaysia, yang juga bertepatan dengan Ekspo Organik dan Produk Asli Timur Tengah dari 18-20 Nov, 2024.
Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata MIHAS@Dubai akan menjadi acara antarabangsa pertama di luar negara dengan penyertaan terbesar oleh syarikat Malaysia diterajui oleh MATRADE.
"MIHAS@Dubai akan digunakan untuk memanfaatkan potensi besar pasaran halal di Timur Tengah, seterusnya mengukuhkan statusnya sebagai pameran perdagangan yang diiktiraf di peringkat global.
"Selain itu, acara berkenaan juga memainkan peranan penting meletakkan Malaysia sebagai negara terkemuka di peringkat antarabangsa dalam landskap halal," katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat-syarikat yang menyertai MIHAS@Dubai terlibat dalam industri makanan dan minuman, kecantikan, pertanian dan alam sekitar, pelancongan mesra Muslim, francais, kewangan Islam dan logistik halal.
Reezal Merican juga berkata kepimpinan Malaysia yang lama dalam industri halal disokong oleh pelbagai inisiatif kerajaan, termasuk kemajuan penyelidikan dan pembangunan infrastruktur yang kukuh telah memacu pertumbuhan industri berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata MIHAS@Dubai akan menjadi batu loncatan kepada MATRADE untuk memperkukuh usaha mengantarabangsakan MIHAS khususnya di rantau Timur Tengah.
"Lokasi Dubai yang strategik di Timur Tengah memberikannya ketersambungan yang sangat baik ke bandar-bandar utama di rantau itu. Ini akan menyediakan akses kepada pengeksport Malaysia ke pelbagai wilayah iaitu Timur Tengah, Afrika Utara dan Asia Selatan," katanya.
Semasa berlangsungnya MIHAS@Dubai, MATRADE akan menganjurkan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) melibatkan 120 pembeli dari seluruh dunia, termasuk pembeli premium yang dikenal pasti oleh Pejabat MATRADE di Dubai, Doha dan Jeddah.
-- BERNAMA
#Matrade #MIHAS Dubai #syarikat Malaysia #Reezal Merican Naina Merican
;