MATRADE rangka strategi perdagangan atasi cabaran geopolitik

Bernama
April 18, 2024 06:15 MYT
Reezal Merican (tengah) Mohd Mustafa (kanan) dan Hairil Yahri (kiri) bergambar pada majlis pra pelancaran MIHAS 2024 di Menara MATRADE. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sedang merangka strategi bagi mengatasi cabaran geopolitik membabitkan konflik di Asia Barat yang kian memuncak supaya tidak menjejaskan prestasi perdagangan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, kesemua 49 pejabat MATRADE di luar negara telah diarahkan melakukan analisis mengenai pendedahan risiko geopolitik di kawasan masing-masing sekali gus mengatur strategi tuntas untuk mengurangkan impak berkenaan.
"Kami sedang melakukan analisis dan eksport Malaysia di negara yang terlibat konflik di Asia Barat. Jadi apa yang kita buat adalah mendapatkan maklumat mengenai trend eksport ke negara tersebut dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
"Jadi kita boleh menggunakan negara atau bandar di kawasan berdekatan untuk mengeksport di negara yang terlibat konflik," katanya pada sidang media selepas majlis prapelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 di sini pada Khamis.
Beliau berkata ketika konflik Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dengan Qatar sebelum ini, MATRADE telah mengeksport barangan ke negara terbabit menerusi Oman.
Justeru, katanya MATRADE akan mengambil langkah sama sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan.
Sementara itu, Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata antara strategi lain untuk mengurangkan impak risiko geopolitik ke atas perdagangan Malaysia adalah menambah pasaran baharu, terutama dalam kalangan pasaran baharu muncul.
"Ini termasuk negara seperti Kenya, Brazil, Nigeria, Tanzania, Yaman, Morocco dan Namibia, dengan kesemua negara ini telah menunjukkan peningkatan signifikan dan potensi besar untuk eksport produk tempatan.
"Apabila pertumbuhan ekonomi China menyederhana sebelum ini, eksport kita ke sana telah berkurangan dan keadaan sama boleh berlaku di rantau lain. Jadi persediaan awal dan langkah penampan penting. Ini sedang dilakukan," katanya.
-- BERNAMA
#cabaran geopolitik #Asia Barat #Matrade #pasaran baharu
;