Masih terlalu awal ulas status CEO FGV - Mohd Isa
Bernama
Jun 4, 2017 07:13 MYT
Jun 4, 2017 07:13 MYT
Masih terlalu awal untuk membuat sebarang kenyataan berhubung status Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Datuk Zakaria Arshad, kata Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Beliau berkata sebarang keputusan yang akan diambil perlu mengikut prosedur yang ditetapkan yang akan diputuskan oleh Lembaga Pengarah.
"Masih terlalu awal untuk saya membuat kenyataan sebab apa-apa yang dibuat kena ada prosedurnya, prosedur belum habis (jadi) saya tidak boleh buat apa-apa kenyataan.
"Keputusan yang akan dibuat adalah di bawah kuasa Lembaga Pengarah," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama warga FGV di Felda Residence Trolak, di sini pada Ahad.
Mohd Isa mengulas dakwaan blogger Raja Petra Kamaruddin pada Sabtu yang mendakwa beliau cuba menyingkirkan Zakaria pada mesyuarat Lembaga Pengarah Jumaat lalu.
Beliau turut menafikan mesyuarat tersebut hanya membincangkan mengenai penyingkiran Zakaria, sebaliknya banyak perkara lain dibincangkan.
Katanya, antara perkara yang dibincangkan adalah termasuk hasrat FGV untuk menubuhkan akademinya sendiri pada tahun ini khusus untuk melatih kira-kira 18,000 kakitangan di seluruh negara agar lebih cekap dalam tadbir urus.
Beliau berkata antara lokasi yang dirasakan sesuai adalah Felda Trolak di Perak dan Felda Tekam di Pahang.
Katanya ketika ini pihaknya sedang merangka butiran terperinci tentang bentuk latihan dan kursus berkaitan yang akan dijalankan untuk tempoh jangka panjang dan jangka pendek.
"Selain tenaga pengajar sendiri, kita juga bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam selain menjemput pihak luar untuk menjadi tenaga pengajar.
"Kita mahu tenaga kerja kita sama ada yang baharu atau yang lama, cekap dalam kerja mereka dan memahami tadbir urus dengan baik," katanya.
Pada majlis itu, Mohd Isa turut menyampaikan sumbangan kepada lebih 50 anak yatim dan kakitangan Felda.
-- BERNAMA