Masa tepat perkukuh perdagangan AI dan digital Malaysia-Rusia - Nazir Razak

Nabilah Khaleeda
November 26, 2024 18:47 MYT
Tan Sri Nazir Razak (dua dari kiri) turut serta sebagai salah seorang daripada lima panelis dalam sesi pleno bertajuk "Towards a New Stage of Trade and Economic Cooperation". - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menjelang giliran Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, sekarang ini dianggap waktu yang tepat untuk memperbaharui hubungan perdagangan antara Malaysia dan Rusia.
Pengerusi ASEAN Business Advisory Council, Tan Sri Nazir Razak menyifatkan, sekarang ini masa terbaik untuk memperkukuh kerjasama strategik antara dua negara selain peluang besar untuk kolaborasi dalam bidang-bidang perdagangan digital, kecerdasan buatan (AI), pasaran karbon, modal teroka, serta keselamatan makanan.
“Kami telah meneliti data dan mendapati tidak cukup syarikat tempatan di pasaran ASEAN yang memanfaatkan teknologi digital dalam perdagangan, jadi ini peluang bagi Rusia menawarkan penyelesaian perdagangan digital di negara-negara ASEAN.
“ASEAN perlu membawa skala ekonomi serantau untuk bersaing dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China.
“Kami sedang membangunkan aliran kerja besar di Malaysia dan rantau ASEAN, dan kami mengalu-alukan kerjasama dari Rusia untuk mencipta penyelidikan dan pembangunan serta skala yang sesuai untuk AI,” tambahnya.
Sementara itu, Nazir turut menekankan keperluan menetapkan piawaian serantau yang tidak bergantung sepenuhnya kepada piawaian negara barat melalui Perikatan Pasaran Karbon ASEAN (AACM).
Beliau turut menyeru pelaburan dalam modal teroka dan sektor pertanian, terutamanya untuk meningkatkan keselamatan makanan di rantau ini, selain bagi menyokong pertumbuhan syarikat kecil dan sederhana (PKS).
“Kerjasama sektor khusus, seperti dalam bidang pertanian penting untuk mewujudkan peluang perniagaan yang serius.
“Sebagai peratusan kepada KDNK, pelaburan dalam modal teroka di ASEAN hanya sekitar 0.5 peratus, jauh lebih rendah berbanding standard global. Peluang untuk pelabur Rusia dalam sektor ini sangat besar,” ujarnya pada Forum Perniagaan Antarabangsa World of Opportunities: Russia-ASEAN hari ini.
Acara itu dianggap sangat signifikan kerana ia menyusuli pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada September lalu.
#Rusia #perdagangan #Rusia-ASEAN #rusia-malaysia #Vladimir Putin #ASEAN #kecerdasan buatan #AI
;