MAS tawar tambang akhir tahun menarik untuk penumpang dari India

Bernama
November 20, 2014 15:55 MYT
...
Malaysia Airlines (MAS) menawarkan tambang menarik serendah Rs11,860 (RM664) bagi penumpang dari India menerusi kempen 'Istimewa Akhir Tahun' bermula hari ini hingga 2 Dis 2014 bagi tempoh perjalanan antara 5 Jan dan 31 Mac 2015.
Tiket penerbangan pergi balik meliputi semua kelas ekonomi dari India ke Malaysia dan Indonesia itu masing-masing bermula dari Rs11,860 dan Rs15,890, kata syarikat penerbangan tersebut pada Khamis.
Syarikat penerbangan negara itu turut menawarkan pakej serupa ke China dan Australia dengan tambang masing-masing dari serendah Rs20,830 dan Rs39,660 untuk penumpang dari India.
"Menjelang musim cuti hujung tahun, sekarang adalah masa terbaik untuk pelanggan kami dari India melawat destinasi menarik seperti Malaysia, Australia, China dan lain-lain," kata Naib Presiden Kanan Serantau Asia Selatan & Timur Tengah, Azahar Hamid.
Tambang istimewa kelas ekonomi itu meliputi cukai lapangan terbang, surcaj, bagasi daftar masuk 30 kilogram dan satu bagasi kabin sehingga tujuh kilogram.
Untuk maklumat lanjut layari www.malaysiaairlines.com, atau menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan Malaysia Airlines +603 7843 3000.
#India #Malaysia Airlines #tambang
;