MAS sokong pelan perniagaan Maskargo

Bernama
Mei 18, 2013 04:00 MYT
Syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines System (MAS) menyokong penuh inisiatif anak syarikatnya, Maskargo Sdn Bhd, melaksanakan tiga teras pelan perniagaannya bagi tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata ketiga-tiga teras itu ialah untuk melabur di dalam pasaran membangun yang berkembang pesat dan khusus, penyediaan perkhidmatan pelanggan berkualiti tinggi serta inisiatif penjimatan kos dan kecekapan di dalam proses operasi.
"Walau berhadapan cabaran, kami perlu mencuba sedaya upaya untuk merebut setiap peluang bagi memastikan para pelanggan gembira serta kekal kompetitif di dalam industri itu yang membangun dan berkembang pesat untuk menuju masa hadapan," katanya pada Majlis Anugerah Maskargo "Megatonners" di sini Jumaat.
Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Long See Wool dan Ketua Pegawai Eksekutif Maskargo Mohd Yunus Idris.
Sementara itu, Mohd Yunus berkata Maskargo mengiktiraf mengenai pentingnya untuk meneroka ke pasaran membangun yang berkembang pesat dan menetapkan agenda itu sebagai sebahagian daripada fokus perniagaan tahun ini.
"Maskargo baru-baru ini menandatangani satu memorandum kerjasama dengan Silk Way Airlines bagi mengukuhkan kedudukan pasaran kedua-dua pihak di dalam industri penerbangan global," katanya.
Katanya perkongsian itu akan membolehkan Maskargo mempunyai kehadiran lebih meluas di dalam dunia, terutama sekali di rantau Negara Komanwel Bebas.
Selain melabur di pasaran membangun yang berkembang pesat, Mohd Yunus berkata syarikat itu juga akan melaksanakan inisiatif penjimatan kos.
"Baru-baru ini, kami telah menggantikan 1,470 set lampu halide di Pusat Kargo Canggih MASkargo dengan sistem "Hi-Beam T5 High Bay" dari General Electric," katanya.
Katanya sistem pencahayaan yang maju di segi teknologi secara signifikannya itu meningkatkan tahap kecerahan sambil menjana pengurangan 50 peratus penggunaan tenaga, yang membolehkan syarikat itu menjimatkan kira-kira RM1 jua setahun.
Mohd Yunus berkata kecekapan proses operasi juga merupakan satu lagi bahagian fokus perniagaan pada tahun ini dan usaha menaik taraf Sistem Kendalian Kargo Bahan MASkargo kini 55 peratus disiapkan dan dijangka siap sepenuhnya pada April tahun depan.
"Melalui langkah menaik taraf itu, agen-agen kami boleh menjangka serahan perkhidmatan yang tekal dan perkhidmatan kendalian kargo yang lebih berkualiti," katanya.
Mohd Yunus berkata syarikat itu kini berusaha meningkatkan kekerapan freternya ke Madras, India dan Guangzhou, China kepada dua kali seminggu pada Jun tahun ini.
"Kami melakukannya bagi menampung keperluan para pelanggan kami serta memudahkan hubungan perdagangan antara India, China dan rakan-rakan perdagangan utama masing-masing," katanya.
Tahun lepas, MASkargo menyumbang kira-kira 14 peratus kepada perolehan keseluruhan MAS.
Anugerah "Megatonners" itu dianjurkan setiap tahun oleh Maskargo bagi menghargai agen-agennya kerana sokongan masing-masing dan sumbangan utama ke arah kejayaan syarikat penerbangan kargo.
Schenker Logistics (Malaysia) Sdn Bhd dianugerahi sebagai penyumbang muatan tertinggi bagi tahun ke-empat berturut-turut pada majlis penyampaian itu, yang turut dihadiri oleh agen-agen penghantaran fret yang menunjukkan prestasi terbaik dari Malaysia, Taiwan dan Thailand.
#Ahmad Jauhari #MAS #MAS Kargo