MAS sedia mula penerbangan harian A380 ke Paris mulai 1 Mac

Bernama
Februari 23, 2013 17:05 MYT
Malaysia Airlines telah bersiap sedia untuk memulakan perkhidmatan penerbangan harian A380 Kuala Lumpur-Paris-Kuala Lumpurnya bermula 1 Mac dengan tibanya A380 yang kelima di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada Sabtu.
Ibu negara Perancis itu akan menjadi destinasi Eropah yang kedua selepas London dalam rangkaian jarak jauh syarikat penerbangan negara yang akan dikendalikan oleh superjumbo, kata syarikat dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Perkhidmatan harian Airbus 380 (494 tempat duduk) ke Paris ialah untuk menggantikan operasi B777 (282 tempat duduk) pada masa ini, sekali gus akan meningkatkan kapasiti tempat duduk harian sebanyak 75 peratus, berkuat kuasa 1 Mac.
Syarikat penerbangan itu berkata perjalanan kelas ekonomi di A380 kini boleh didapati pada tambang pergi balik merangkumi semua, bermula hanya dari RM3,681.
Sementara itu, promosi tambang pergi balik merangkumi semua untuk Kelas Perniagaan dari Kuala Lumpur ke Paris bermula dari RM15,026 sementara tambang pergi balik Kelas Pertama bermula dari RM31,491.
Setakat ini, perkhidmatan A380 telah mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengguna untuk kedua-dua sektor Kuala Lumpur-Paris dan Paris-Kuala Lumpur.
Malaysia Airlines juga berkata yang trend tempahan untuk bulan Mac 2013 menunjukkan peningkatan positif sebanyak 87 peratus untuk laluan Kuala Lumpur-Paris dan lonjakan 123 peratus pertumbuhan untuk laluan Paris-Kuala Lumpur berbanding tempahan yang dibuat pada Mac tahun lepas.
Keanggotaannya sebagai sekutu "oneworld" mulai 1 Feb, turut menyumbangkan kepada perkembangan positif ini.
Sementara itu, MASholidays, cabang pengembaraan dan pelancongan kepada Malaysia Airlines, telah menawarkan tiga promosi pakej pengembaraan yang eksklusif dari Malaysia ke Paris bersempena dengan pengoperasian perkhidmatan A380 syarikat penerbangan itu ke Paris.
Dalam pada itu, para pengguna boleh menempah perjalanan mereka di Malaysia Airlines menerusi semua saluran pengedaran, terutamanya www.malaysiaairlines.com, nombor tol percuma 24 jam Malaysia Airlines 1 300 88 3000, MHmobile app, MHBuddy di Facebook Malaysia Airlines, pejabat jualan tiket Malaysia Airlines dan ejen yang dilantik seluruh Malaysia.
#a380 #Airbus #eropah #Malaysia Airlines #Paris #penerbangan
;