MAS peroleh mandat jelas majoriti pemegang saham terima tawaran 27 sen sesaham

Bernama
November 6, 2014 00:49 MYT
Md Nor berkata ia bakal menjadi satu tempoh yang menarik bagi syarikat penerbangan itu pada masa akan datang.
Malaysian Airline System Bhd (MAS) memperoleh mandat jelas selepas majoriti pemegang sahamnya menerima tawaran 27 sesaham, kata Pengerusinya, Tan Sri Md Nor Yusof.
"Rasa amat lega sekali. Kami kini mendapat mandat jelas, terutamanya Khazanah Nasional Bhd," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat itu di sini, pada Khamis.
Mesyuarat itu yang bermula pada 10 Pagi berakhir pada pukul 4.15 petang.
Md Nor berkata ia bakal menjadi satu tempoh yang menarik bagi syarikat penerbangan itu pada masa akan datang, sambil menambah buat masa ini pelan perniagaan baharu itu sedang diusahakan.
Beliau berkata pembayaran kepada pemegang saham dijangka selesai pada akhir tahun.
Apabila ditanya sama ada MAS akan bertambah baik bermula sekarang, beliau menjawab "Insya Allah."
Mengenai sama ada, bekas CEO Air Lingus Christoph Mueller mungkin dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif MAS yang baharu, beliau berkata tidak ada sebarang keputusan rasmi buat masa ini.
"Apa yang boleh saya katakan ialah, ketika ini kami sedang mencari calon terbaik di seluruh dunia," katanya.
Majoriti pemegang saham MAS mengundi memilih resolusi bagi cadangan pengurangan modal berpilih dan pembayaran semula pada mesyuarat tersebut.
#EGM #Khazanah #MAS #penstrukturan
;