MAS mohon dagangan saham digantung

Bernama
Ogos 29, 2014 16:18 MYT
Saham MAS berakhir pada 25 sen pada pukul 5 petang Khamis - Gambar Fail
Malaysian Airlines System Bhd (MAS) memohon penggantungan dagangan sahamnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang, sementara menunggu pengumuman penting.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata pemegang saham utamanya, Khazanah Nasional Bhd, akan membuat pengumuman berhubung butir-butir cadangan penyusunan semula syarikat penerbangan itu.
MAS berkata permohonan penggantungan berkenaan dibuat mengikut subperenggan 3.1(b) Nota Amalan 2 mengenai Permohonan Penggantungan Syarat Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities.
Sementara itu, Bursa Malaysia, dalam makluman hari ini berkata kelulusan telah diberikan kepada permohonan penggantungan oleh MAS itu.
Saham MAS berakhir pada 25 sen pada pukul 5 petang semalam.
Khazanah Nasional, cabang pelaburan strategik kerajaan Malaysia, yang memiliki 69.4 peratus MAS, mengumumkan pada awal bulan ini bahawa ia akan mendapatkan 30.4 peratus yang tidak dimilikinya di bawah belian balik saham pada 27 sen sesaham yang akan membabitkan kos RM1.38 bilion sebagai permulaan kepada proses penstrukturan semula itu.
#Bursa Malaysia #Khazanah Nasional #MAS #penerbangan Malaysia
;