MAS larang penggunaan Samsung Galaxy Note 7 di dalam pesawatnya

Astro Awani
September 10, 2016 09:09 MYT
Pengumuman larangan penggunaan telefon pintar tersebut turut dimaklumkan oleh kru penerbangan ketika taklimat keselamatan sebelum berlepas dan sepanjang penerbangan. -Gambar fail
Malaysia Airlines (MAS) hari ini mengeluarkan kenyataan larangan penggunaan telefon pintar Samsung Galaxy Note 7 kepada semua penumpang pesawat penerbangannya.
Perkara itu dimaklumkan pihak pengurusan syarikat penerbangan negara itu kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Sabtu.
Selain kenyataan menerusi media, pengumuman larangan penggunaan telefon pintar tersebut turut dimaklumkan oleh kru penerbangan ketika taklimat keselamatan sebelum berlepas dan sepanjang penerbangan.
Menurut pihak MAS, keselamatan penerbangan dan penumpang menjadi keutamaan berhubung larangan itu.
Selain penggunaan ketika berada di dalam kabin, MAS juga tidak membenarkan Samsung Galaxy Note 7 dibawa di dalam bagasi yang didaftar masuk.
Atas dasar keselamatan juga, pihak MAS tidak membenarkan perkhidmatan penghantaran kurier gajet berkenaan sehingga notis terbaharu dikeluarkan.
#Malaysia Airlines #MAS #penumpang penerbangan #Samsung Galaxy Note 7