MAS hidangkan menu khas sempena Krismas
Bernama
Disember 22, 2012 17:12 MYT
Disember 22, 2012 17:12 MYT
Malaysia Airlines menawarkan menu istimewa Krismas untuk hidangan di atas pesawat penerbangan antarabangsa terpilihnya, mulai 24 Dis hingga 26 Dis bersempena dengan musim perayaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, MAS berkata juadah itu akan dihidangkan di semua kelas dan akan mengetengahkan kegemaran tradisional, termasuk ayam belanda panggang dan disarak dengan buah berangan dan jeli kranberi serta kek log Krismas.
"Para penumpang di kelas pertama dan perniagaan akan ditawarkan dengan hidangan dada ayam belanda panggang dengan disarak buah berangan, kubis Brussels bersapu mentega, lobak dan kentang sebagai ganti kepada hidangan utama biasa," katanya.
Ia menambah yang puding istimewa Krismas juga akan dihidangkan sebagai pencuci mulut.
Bagaimanapun, MAS berkata hidangan utama biasa di kabin ekonomi akan digantikan dengan gulungan ayam belanda dengan "turkey juslie", kentang berherba, kubis Brussels bersapu mentega dan lobak kecil.
Kek log dengan dihiasi coklat akan dihidangkan sebagai pencuci mulut, katanya.