MAS catat peningkatan kerugian RM1.152 bilion walaupun hasil bertambah

Bernama
Februari 18, 2014 23:30 MYT
Malaysia Airlines mengumumkan peningkatan 36 peratus pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM254 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2013 berbanding RM187 juta pada 2012.
Syarikat penerbangan kebangsaan itu mencatat pendapatan RM15.1 bilion, naik 10 peratus berbanding RM13.8 bilion sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya, berkata purata faktor tempat duduk meningkat 81 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Kami tahu 2013 akan menjadi tahun mencabar dengan saingan sengit yang menjejaskan pendapatan. Berikutan itu, fokus kami ialah meningkatkan hasil, yang menyaksikan peningkatan 11 peratus, manakala trafik meningkat 27 peratus atas kapasiti yang bertambah hanya 17 peratus," katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu mencatatkan peningkatan kerugian sebelum cukai RM1.152 bilion untuk tahun kewangan 2013 daripada RM424.801 juta untuk tahun kewangan 2012 walaupun hasil bertambah kepada RM15.121 bilion berbanding RM13.756 bilion sebelumnya.
Untuk suku keempat tahun lalu, Malaysia Airlines mencatatkan kerugian sebelum cukai RM337.934 juta daripada keuntungan sebelum cukai RM53.163 juta, manakala hasil naik sedikit kepada RM3.896 bilion daripada RM3.866 bilion.
Prestasi lebih lemah itu disebabkan susut nilai dan caj kewangan yang lebih tinggi di samping kerugian pertukaran asing yang tidak disedari ketika susut nilai untuk 2013 ialah RM817 juta berbanding RM548 juta pada 2012.
Pertukaran asing 2013 memperlihatkan kerugian RM194 juta berbanding keuntungan RM190 juta pada 2012 manakala kos kewangan melonjak kepada RM437 juta berbanding RM235 juta pada 2012.
Ahmad Jauhari berkata, syarikat penerbangan itu akan mengekalkan komitmen untuk terus kompetitif dan memberi pulangan kepada pemegang saham dalam jangka panjang.
"Dengan saingan yang semakin sengit, kami menjangka tekanan ke atas pendapatan akan berterusan. Kami akan meningkatkan usaha untuk mengurangkan kos, memberi fokus kepada kos legasi, di samping meningkatkan penggunaan bagi memacu trafik dan pendapatan," katanya.
Baki tunai kumpulan itu berjumlah RM3.87 bilion manakala jumlah aset RM21.86 bilion dengan penggearan bersih 1.9 kali pada akhir tahun lalu.
#Ebitda #Malaysia Airlines #MAS #rugi #untung